Rakam Najib kena kompaun berkempen, pegawai iring maki wartawan

Seorang wartawan didakwa menjadi mangsa dimaki seorang pegawai yang mengiringi Datuk Seri Najib Razak semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana merakam bekas Perdana Menteri itu sedang dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Insiden tersebut menurut laporan Malaysiakini berlaku semasa Najib sedang bersama calon Tangkak dari BN/MCA Ong Chee Siang yang berkempen di Pusat Penjaja Tangkak Jaya.

Portal tersebut melaporkan insiden itu disaksikan seorang saksi yang memberitahu wartawan tersebut dimaki ketika mahu merakam sepasukan anggota pegawai dari Jabatan Kesihatan cuba mendekati rombongan Najib.

“Apabila (lelaki berbaju hijau itu) menyedari seseorang sedang mengambil gambar, dia menghampiri seorang wanita yang mempunyai bukti bahawa dia adalah petugas media, dan memintanya memadamkan gambar yang diambil itu.

“Saya dengar wanita itu enggan berbuat demikian dan sebaliknya bertanyakan identiti individu tersebut. (Individu berbaju hijau itu) menjawab bahawa dia adalah pegawai Najib dan berulang kali berkata ‘Najib bos saya’.

“Terjadi pertikaman lidah antara mereka dan lelaki itu menggunakan (bahasa kesat) iaitu F-word terhadap wanita berkenaan. Malah, dia mendekatkan dirinya ke arah wanita itu. Dia sangat bongkak.

“Wartawan itu meminta lelaki tersebut supaya menjarakkan diri. Tetapi lelaki itu berulang kali membalas dengan F-word. (Pertengkaran) berakhir dengan kedua-duanya membuat panggilan telefon,” kata saksi kejadian menurut laporan portal itu.

Laporan itu juga mendakwa saksi memberitahu ketika menyaksikan kejadian itu cuba untuk mengambil gambar tetapi berhenti berbuat demikian kerana ketakutan selepas melihat keberangan lelaki berbaju hijau itu.

Katanya, dia kemudian mendekati pegawai jabatan kesihatan di kawasan tersebut dan mendapati mereka cuba mengeluarkan denda kepada Najib atas kesalahan yang dilakukan pada 26 Feb.

“Lelaki berbaju hijau itu tidak patut membuat kecoh dengan menghalang wartawan itu dan memakinya.

“Jika Najib melanggar protokol Covid-19, mengapa melindunginya? Ini sudah melampau kerana menggunakan perkataan sedemikian (F-word) kepada media.

“Mungkin dia berasa tidak puas hati, tapi dia tidak sepatutnya buat macam itu,” kata saksi tersebut.

Kenyataan tersebut turut disahkan oleh beberapa individu lain yang hadir di lokasi yang sama pada kejadian berkenaan.

Najib sedang giat berkempen untuk BN dan dia sering dilihat dikerumuni oleh orang ramai yang mahu bergambar dengannya dan diiringi penyokongnya.

PRN akan diadakan pada Sabtu ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR