
Siapa yang kini layak menjadi Ketua Menteri Sabah? (Dari kiri) Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN); Datuk Seri Hajiji Noor (GRS); atau Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan).
Kemelut politik Sabah yang kini berulang lagi dikesali Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, ia selepas UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan yang disertainya bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran nampaknya tidak senada dengan kepimpinan UMNO-BN Sabah yang bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan GRS sehingga menimbulkan satu lagi kemelut politik.
“Takkan asyik berpolitik 24 jam. Apakah tiada langsung walaupun sekelumit perasaan simpati mereka kepada rakyat Sabah yang sedang bergelut cabaran kehidupan dan ekonomi,” soalnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, rakyat Sabah kini sudah mula bosan, marah, mual dan muak dengan kemelut politik yang dibawa pemimpin tamak serta gila kuasa.
“Siapa yang tidak marah dengan keadaan politik Sabah sekarang, yang tidak pernah lekang daripada bergolak,” katanya lagi.
Rahman berkata, kesabaran dalam berpolitik adalah tuntutan demokrasi dan perlu dihormati semua pihak dalam parti politik.
“Jika tiada kesabaran, maka jawabnya akan pincanglah salah satu tiang seri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Sabah berhak mendapat kestabilan politik dan berhak mendapat ruang untuk bernafas dari semua kemelut politik.
Kemelut politik Sabah bermula apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Suasana itu berlanjutan apabila Hajiji mendakwa masih mendapat sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala Bung Moktar meneruskan usahanya untuk menumbangkan kerajaan GRS.