Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini menegur parti itu dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat ghairah dan mengambil jalan singkat berhubung empat bekas wakil rakyat Melaka yang berpaling tadah sehingga menyebabkan kerajaan Melaka tumbang.
Rafizi yang juga mantan Ahli Parlimen Pandan berkata, kepercayaan rakyat akan terhakis terhadap PKR dan juga Pakatan Harapan (PH) sekiranya empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu diterima menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan.
Malah, Rafizi berkata, akhlak ADUN yang suka memaki hamun juga bukanlah calon yang perlu ditampilkan oleh PH.
“Pandangan saya sebagai pengundi dan orang lama parti ialah, menerima watak-watak yang dipandang serong oleh rakyat kerana tindakan tidak berprinsip mereka selama ini adalah satu kesilapan yang menghakis keyakinan rakyat.
“Janganlah ambil jalan singkat atas nama strategi,” kata Rafizi dalam media sosialnya.
Selain itu, Rafizi berkata, rakyat kini menjadi mangsa berdepan risiko Covid-19 akibat perebutan kuasa dan kekayaan sesama pemimpin antara UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Justeru, katanya, pemimpin PKR yang mungkin melihat kehadiran empat ADUN itu sebagai peluang menjadi ‘orang besar’ di Melaka diharap tidak menjadikan ia sebagai jalan pintas.
“Mungkin ada keghairahan seorang dua pimpinan PKR yang melihat ini peluang untuk menjadi orang besar di Melaka, tetapi janganlah keghairahan itu mempengaruhi keputusan dengan mencari jalan pintas,” katanya lagi.
Pada awal bulan ini, tular sebuah gambar pertemuan Anwar yang juga Pengerusi PH bersama empat bekas ADUN iaitu ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee, ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron.
Gambar pertemuan itu disahkan oleh Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.
Kerajaan Melaka tumbang pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas ADUN berkenaan umum hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.
Susulan itu, Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh umum DUN Melaka penggal ke-14 bubar selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November dengan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.