
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menyenaraikan 25 calon 'favourite' pada pemilihan yang akan pada Kongres PKR hujung minggu ini. - Gambar FB Rafizi
Pengundian bagi memilih 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk melengkapkan barisan pimpinan PKR 2022-2025 akan berlangsung hujung minggu ini.
Seramai 70 ahli, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili parti itu, menawarkan diri untuk merebut kerusi MPP.
Ketika Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berjoging di sekitar kediamannya selain melayan seniwati dan sutradara terkenal dari Indonesia, Christine Hakim, Timbalan Presiden Rafizi Ramli, pula berbeza agenda.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, Rafizi ‘menawarkan’ 25 calon MPP yang menurutnya mampu memainkan peranan penting dan melonjakkan semula PKR yang semakin ditolak oleh pengundi tua dan muda.
Sambil mengambil sikap terbuka dan meraikan semua calon yang bertanding, Rafizi berkata beliau juga menerima mesej daripada ahli PKR di seluruh negara berkaitan barisan pimpinan yang ideal untuk meneruskan gelombang suara akar umbi yang telah dizahirkan bagi pimpinan peringkat atas.
“Sebab itu saya mengambil sedikit masa untuk meneliti kelebihan dan peranan yang boleh dimainkan oleh calon-calon sebelum saya mengumumkan senarai calon yang saya yakin boleh melonjakkan parti selepas ini.
“Oleh itu, saya percaya 25 calon berkenaan boleh memainkan peranan yang penting selari dengan proses membina kekuatan parti selepas ini, terpulang kepada perwakilan untuk memilih 20 calon terbaik dari kalangan mereka:
“Kita akan hormati pilihan akar umbi dan saya ingatkan bahawa saudara-saudari, sebagai perwakilan cabang masing-masing, mewakili kehendak dan hasrat akar umbi yang mahukan parti terus membina kekuatan sendiri agar kita kekal di landasan reformasi,” katanya.
Dua puluh lima calon yang beliau senaraikan ialah:
- Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Ahli Parlimen – MP);
- Fahmi Zainol (aktivis);
- Simon Ooi Tze Min (Ahli Dewan Undangan Negeri – ADUN);
- Romli Ishak (Bekas Setiausaha Politik TPM);
- Tan Kar Hing (Bekas Sxco Perak);
- M Anbarasan A/L Murugesu (Ketua Cabang Puchong);
- Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Bekas Timbalan Menteri);
- Halim Bachik (Ketua Cabang Masjid Tanah);
- Abdul Halim Hussain (Exco Pulau Pinang);
- Wong Chen (MP Subang);
- Nurin Aina @ Nor Azrina Surip (MP Merbok);
- Syed Ibrahim Syed Noh (MP Ledang);
- Zahir Hassan (Jurutera);
- Muhammad Arafat Varisan Mahamad (ADUN Hulu Kinta);
- Che Zam Hamzah (Akauntan bertauliah);
- Zinda Khalil Sastro Hassan (Usahawan);
- Zaidi Ahmad (Ketua Cabang Pekan);
- Lee Chean Chung (ADUN Semambu);
- Kesavan a/l Subramaniam (Ahli Parlimen Sungai Siput);
- Gopalakrishnan a/l Subramaniam (Bekas ADUN Tiram);
- Mohd Amin Abdul Mem (Ketua Cabang Semporna);
- Gerald Hans Isaac (Seniman);
- Jun Low Hsiad Hui (Ahli Parlimen Hulu Selangor);
- Raiyan Abdul Rahim (Wanita muda profesional); dan
- Rusnah Aluai (bekas ahli akademik).
Bagaimanapun, mengulas lanjut, Rafizi mengingatkan ahli supaya memilih calon-calon yang dengan jelas menolak konsep khemah besar, sebaliknya perlu membina kekuatan sendiri.
“Kita wajar memilih calon-calon yang secara jelas menolak khemah besar. Sebahagian besar anggota Keadilan di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu Keadilan membina kekuatan sendiri. Undilah calon-calon yang konsisten menolak khemah besar.
“Pilih calon-calon yang mempunyai kepakaran masing-masing yang boleh digunakan untuk membina kekuatan parti.
“Kita wajar menjauhi budaya mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi atau tidak ada sebarang idea untuk menambahbaik parti,” katanya.
Rafizi juga menggesa ahli memilih calon-calon yang tidak pernah terpalit dengan episod membawa masalah kepada parti.
“Elakkan dari mengundi calon-calon yang pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang telah mengkhianati parti, atau kumpulan yang membawa budaya bodek dan samseng yang ditolak anggota parti baru-baru ini,” katanya.
Hasil keputusan undian akan diumumkan pada kongres nasional PKR pada 25 Jun ini.