
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Keceluparan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli disindir pula Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli selepas harga barang masih tidak turun seperti dijanjikan.
Mohd. Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu secara sinis menyindir Menteri Ekonomi tersebut yang sebelum ini dengan yakinnya memaklumkan pemimpin PN akan terduduk namun hakikatnya harga barangan masih belum turun lagi.
“Saya turun ke bawah, pasar-pasar raya dan sebagainya harga barangan mentah termasuk telur khususnya masih belum turun lagi meskipun Rafizi kata sudah turun.
“Rafizi perlu berusaha lagi bagi memastikan harga barangan turun. Kita faham keadaan ekonomi dunia sekarang dan Rafizi perlu berusaha lebih lagi,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, golongan peniaga mendakwa harga bahan mentah tidak turun malah kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini, sekali gus menyukarkan mereka menurunkan harga jualan makanan seperti disarankan Rafizi.
Kumpulan peniaga gerai makanan dan restoran yang ditemui turut tidak bersetuju dengan teguran Rafizi yang mendakwa sesetengah mereka sengaja enggan menurunkan harga makanan dan minuman.
Bulan lalu Rafizi memaklumkan pemimpin PN yang mempertikai kenyataannya berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi setelah langkah itu difahami seluruh rakyat dengan rasional.
Menurut Rafizi, usaha untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan diperlukan sebagai satu mekanisme kawalan harga.
“Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini.
Jangan takut dengan pandangan umum. Insya-Allah rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.
“Dalam sebulan lagi, geng-geng PN yang pertikai semua akan terduduk. Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversial tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” katanya dalam akaun Twitter beliau.