
Rafizi Ramli membidas Datuk Seri Najib Razak yang ghairah mendesak PRU-15 disegerakan.
Langkah Datuk Seri Najib Razak yang ghairah mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan bertujuan mahu mendapat pengampuan sekiranya UMNO berjaya menang dengan besar, kata Rafizi Ramli.
Timbalan Presiden PKR itu membidas bekas Perdana Menteri yang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah kerana mahu PRU-15 disegerakan walhal banyak kesnya sedang berjalan yang belum dimuktamadkan.
“Najib berharap pilihan raya lebih awal boleh menempatkan semula UMNO di Putrajaya dan parti itu akan mendesak pengampunan diraja sebelum rayuan terakhirnya.
“Ironinya walaupun dia boleh berbohong, (dengan mengatakan) dia tidak mencuri apa-apa wang untuk memperdaya penyokongnya, desakannya untuk pilihan raya segera adalah pengakuan bersalah secara diam-diam kerana ia mengesahkan strateginya untuk bergantung kepada pengampunan jika Umno kembali,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Rafizi berkata Najib dan rakan karibnya yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mementingkan diri sendiri kerana kedua-dua mereka hanya mahu melepaskan diri daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi.
“Jelas sekali Najib dan Zahid berada dalam keadaan panik. Mereka sanggup menimbulkan keretakan dan ketidakstabilan dalam Umno semata-mata untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka semasa dalam kerajaan.
“Sudah menjadi rahsia umum, bahawa ‘kluster kabinet’ UMNO, yang diketuai oleh Perdana Menteri, menentang pilihan raya umum awal,” katanya lagi.
Jelasnya, kedua-dua pemimpin utama UMNO itu begitu teruja dan yakin sangat kemenangan akan menyebelahi mereka susulan keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor yang lalu tetapi jangkaan mereka sebenarnya salah sama sekali.
“Najib dan Zahid beranggapan orang ramai mudah tertipu dan tidak akan melihat bahawa mereka mendesak ini untuk menyelamatkan diri.
“Mereka lupa kejayaan pilihan raya negeri sebelum ini di Melaka dan Johor adalah kerana kelemahan Pakatan Harapan (PH) dan bukannya disebabkan peningkatan sokongan yang wujud kepada UMNO,” katanya.
Terdahulu semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) hujung minggu lalu, Najib sekali lagi mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menimbang untuk memanggil PRU-15 dengan secepat mungkin.
“Oleh kerana pertaruhannya terlalu tinggi, keputusan yang betul mesti dibuat, ia mengenai masa depan kita,” kata Najib dalam ucapannya.