
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Selepas dikritik hebat, termasuk ada yang mempertikaikan sama ada kekayaan dikumpulnya adalah hasil derma orang ramai, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, kembali memberi janji untuk menawarkan saham syarikat diasasnya Invoke Solutions Sdn Bhd (Invoke).
Bagaimanapun calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Pandan itu yang memegang lebih 70 peratus saham Invoke, tidak menyatakan dengan tepat bila saham itu akan ditawarkan.
Rafizi berkata demikian dalam kenyataan hari ini (8 November 2022) sebagai menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berhubung aset miliknya yang kini berjumlah RM18.85 juta.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata Rafizi – yang pernah berjanji memberikan saham Invoke kepada kakitangannya lima tahun lalu – masih belum menjawab pemilikan sahamnya sedangkan beliau mengatakan firma itu adalah sebuah badan tidak berasaskan keuntungan.
Menurutnya Rafizi – pemimpin PKR yang kononnya sentiasa bercakap berkaitan ketelusan dan amanah – juga berjanji untuk mengagihkan saham itu kepada lebih 80 kakitangan sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka.
Timbalan presiden PKR itu harus menjelaskan bagaimana Invoke adalah badan “bukan untung” dan jika ya, bagaimana Rafizi mampu memiliki kekayaan RM16.7 juta dalam bentuk sahamnya, kata Abdul Latiff dalam satu kenyataan hari ini.
Latiff yang menyifatkan Rafizi sebagai ‘kaki penipu’ berkata pemimpin PKR itu gagal menjawab soalan yang dikemukakan dengan memuaskan, terutamanya sejak Invoke dibina atas sokongan dan sumbangan orang ramai.
“Sebaliknya, Rafizi memegang 73 peratus saham. Seorang taikun perniagaan bernama Lee Choo Boo memiliki blok kedua terbesar saham dan Wong Chen dari PKR saham ketiga terbesar. Bagaimana pula dengan 80 pekerja miskin Invoke yang dijanjikan bahagian Invoke?” tanya Latiff.
“Mengapa Rafizi mengelak daripada menjawab soalan-soalan ini dan sebaliknya cuba mengalihkan perkara itu dengan melemparkan kata-kata kesat kepada kami?”
Sebelum ini, Abdul Latiff mempersoalkan walaupun syarikat itu mengalami kerugian RM4.7 juta pada Disember 2021, dalam perisytiharan dikeluarkan Rafizi menunjukkan sehingga 31 Oktober lalu nilai sahamnya melonjak kepada RM17 juta.
Seorang bekas pemimpin PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon turut mempertikaikan kekayaan Rafizi sambil berkata:
“Invoke ditubuhkan oleh Rafizi kononnya untuk kepentingan awam. Invoke telah merayu dan menerima sokongan orang ramai melalui beberapa cara kutipan dana.
“Adakah Rafizi bersetuju Invoke menerima sokongan awam termasuk melalui beberapa cara kutipan dana walaupun beliau telah memasukkan wang beliau sendiri?
“Adakah Rafizi bersetuju bahawa saham Invoke yang kini bernilai berjuta-juta ringgit adalah sebab sokongan orang ramai dan publisiti terhadapnya untuk mendapatkan pilihan raya yang adil.”