Rafizi layak jadi Timbalan Presiden jika berani berdebat dengan Najib

Tidak memerlukan formula yang rumit jika Rafizi Ramli mahu memenangi pemilihan PKR nanti kerana hanya dengan berdepan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas pentas berdebat sudah mencukupi untuk beliau diangkat menjadi Timbalan Presiden.

Apabila Rafizi berdebat dengan Najib yang mendakwa dirinya popular dikalangan rakyat, ia pasti akan meningkatkan populariti dan menaikkan namanya kembali di persada politik negara kerana setakat ini tidak ada pemimpin PKR yang berani berdepan dengan ‘Bossku’ itu.

Orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Datuk Johari Abdul (Ketua Whip) mahupun Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak mempunyai keberanian seperti dimiliki Rafizi untuk berdepan dengan Najib.

Ia terbukti semasa PRN Melaka dan Johor apabila hanya Anwar yang dilihat berhempas-pulas ke sana sini berkempen untuk membantu kempen calon tetapi kelibat orang kanannya langsung tidak menyerlah sama sekali.

Mungkin disebabkan faktor tersebut juga Rafizi membuat keputusan untuk kembali ke kancah politik selepas melihat Anwar seakan tidak berdaya bergerak seorang diri kerana semua orang kanannya tidak berfungsi dan membantu dalam menguatkan parti.

Saifudin dan Johari, kedua-dua mereka sibuk menjalankan strategi politik di luar, bukan umum tidak mengetahui mereka berdua begitu kerap berjumpa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pertemuan rahsia itu akhirnya terbocor jua.

Malah, terdapat spekulasi mengatakan kedua-dua pemimpin PKR ini menjadi agen UMNO dalam PKR, tetapi tidak pasti sejauh mana kebenaran berhubung dakwaan tersebut dan ia sekadar menjadi khabar angin.

Sebelum ini juga tular gambar Saifudin dan Johari duduk bertemu dalam majlis bersama, begitu mesra pemimpin PKR ini dengan Zahid.

Jadi tidak menghairankan kelibat kedua-dua pemimpin PKR ini juga tidak begitu menonjol dalam membantu Anwar sepanjang berkempen di Melaka dan Johor kerana dibayangi imej sebagai rakan karib Zahid.

Sekembalinya Rafizi dalam politik negara walaupun baharu beberapa hari, aura dan keagresifan seorang pemuda yang berani sudah ditonjolkan oleh beliau dengan awal-awal lagi menjadikan Najib sebagai sasarannya.

Dalam kenyataan semalam, Rafizi secara terbuka mengkritik Najib berhubung cadangannya untuk menyelamatkan sebuah syarikat korporat dengan mahu menggunakan wang Petronas.

Malah, lebih menarik lagi Rafizi berjanji akan menjawab setiap cadangan Najib yang dilontarkan, paling menarik beliau juga berjanji akan menghantui kehidupan suami Datin Seri Rosmah Mansor itu kembali.

Mungkin terdapat pihak yang menganggap ia sebagai gimik politik Rafizi tetapi mengenali pemuda tersebut, beliau tidak bermain politik murahan seperti orang kanan Anwar.

Namun, sekiranya Rafizi mencabar Najib untuk berdebat secara terbuka, ia mungkin akan dapat menaikkan rating tinggi dirinya yang sedang mengintai jawatan nombor dua dalam PKR.

Lagipun, bukankah Najib sebelum ini sangat pakar dalam menjawab setiap persoalan dalam media sosialnya di Facebook dibantu oleh pembantunya seperti Isham Jalil, budak hingusan yang tidak pernah menang pilihan raya tetapi berlagak hebat.

Lawan Rafizi bukan individu seperti Isham tetapi lawannya sebenar adalah Najib, jika berjaya diadakan satu debat terbuka antara kedua-dua mereka, tidak kira siapa yang menang tetapi pastinya populariti Rafizi akan lebih tinggi berbanding pencabarnya seperti Saifudin.

Jika dibandingkan Rafizi dan Saifudin, ia sangat jauh berbeza sama sekali bagai ‘bumi dengan langit’.

Bagaimanapun, Rafizi juga perlu menjelaskan beberapa perkara yang sebelum ini gagal ditunaikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) kerana beliau juga adalah sebahagian individu yang bertanggungjawab dalam menciptanya.

Rakyat agak kecewa dengan PH yang dilihat gagal menunaikan janji mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan diharapkan Rafizi dapat mencari formula untuk mengembalikan keyakinan orang ramai nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR