Rafizi dakwa Mat Sabu, Adly beria-ria mahu terima 4 ADUN tarik sokongan

Rafizi Ramli mendakwa Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari begitu beria-ria mendesak supaya empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menarik sokongan sebelum ini diterima masuk ke dalam Pakatan Harapan (PH).

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata kedua-dua pemimpin Amanah itu memberi alasan kononnya bekas Ketua Menteri (KM) dari parti UMNO, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi bekas ADUN itu boleh memberi kelebihan dalam berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

“Sekarang alasan yang sama digunakan pimpinan Amanah, konon Idris Haron dan lain-lain akan bawa lonjakan di Melaka.

“Masalahnya mereka berkokok di dalam mesyuarat PH kerana dalam PH, parti besar mana pun bila menjadi anggota ada undi yang sama,” kata beliau dalam satu kenyataan di hantaran Facebook.

Namun, Rafizi tidak berpuas hati apabila PKR menjadi sasaran kecaman penyokongnya berhubung isu empat bekas ADUN tersebut.

Bagaimanapun kali ini beliau mendesak supaya pemimpin Amanah tersebut memberikan penjelasan sendiri terhadap pendirian mereka melibatkan bekas ADUN kerajaan yang menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri.

“Diluar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab diluar.

“Sudah sampai masanya Presiden Amanah dan Pengerusi Amanah Melaka pula cuba meyakinkan pendokong PH diluar ini kot belah mana kemasukan katak-katak politik akan memberi lonjakan yang boleh memenangkan PH di Melaka,” katanya lagi.

Ujarnya, perkara ini bukan kali pertama berlaku malah sebelum ini PKR juga dipersalahkan berhubung isu keputusan menerima kemasukan Bersatu dalam gabungan PH.

“Pada satu ketika, kata dua diberikan kalau PKR tetap berkeras, wajarlah PKR tidak lagi bersama PH kerana Amanah dan DAP sudah buat keputusan menerima Bersatu.

“Demi mengekalkan PH, kami terpaksa bersetuju dengan syarat ada perjanjian ketat,” katanya lagi.

Rafizi mendedahkan pada awalnya PKR bersetuju Bersatu hanya diterima sebagai sekutu pilihanraya (bukannya anggota PH) supaya keputusan PH tidak kacau bilau, tetapi pendirian tersebut disanggah pula DAP dan Amanah ketika itu pada 2016.

Untuk rekod, Idris yang juga bekas ADUN Sungai Udang sejurus jatuhnya kerajaan Melaka dipimpin UMNO sudah beberapa kali bertemu dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat melayani tuntutan mereka untuk bertanding atas tiket PH.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat bekas ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, 16 November hari pengundian awal dan 20 November hari pengundian biasa.

BERITA BERKAIT
POPULAR