
Rashid juga merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Kekayaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dipersoal termasuk mengenai pegangannya dalam syarikat tinjauan awam yang diasaskannya, Invoke Solutions Sdn Bhd.
Bendahari Bersatu Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon membangkitkan beberapa persoalan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu.
“Invoke ditubuhkan oleh Rafizi kononnya untuk kepentingan awam. Invoke telah merayu dan menerima sokongan orang ramai melalui beberapa cara kutipan dana.
“Adakah Rafizi bersetuju Invoke menerima sokongan awam termasuk melalui beberapa cara kutipan dana walaupun beliau telah memasukkan wang beliau sendiri?
“Adakah Rafizi bersetuju bahawa saham Invoke yang kini bernilai berjuta-juta ringgit adalah sebab sokongan orang ramai dan publisiti terhadapnya untuk mendapatkan pilihan raya yang adil,” soalnya melalui satu kenyataan, hari ini lapor Malaysiakini.
Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta di mana kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke.
Rashid yang juga penyandang Parlimen Batu Pahat menuntut penjelasan soal kenyatan Rafizi pada tahun 2017 yang menyatakan Invoke merupakan entiti yang tidak berasaskan keuntungan namun kini beliau membina kekayaan melalui syarikat itu.
“Mengapakah setelah diumumkan pada tahun 2017 bahawa Invoke bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan peribadi termasuk pemegang saham, beliau menyimpan saham yang telah berkali ganda nilainya sebagai harta peribadi beliau?
“Dalam memegang kepada kenyataan beliau sendiri pada tahun 2017 bahawa Invoke adalah satu entiti tidak berasaskan keuntungan (non-profit), adalah Rafizi akan menubuhkan suatu amanah atas saham-saham untuk kepentingan awam atau beliau masih terus memegang saham itu sebagai milik peribadi beliau?”, katanya.
Tegasnya, orang ramai menyokong Invoke bagi tujuan murni bukan untuk mengkayakan sesiapa.
“Adalah satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan bahawa Invoke dibina berasaskan sokongan orang ramai. Orang ramai yang menyokong Invoke kerana mereka dijamin oleh Rafizi bahawa Invoke wujud untuk memastikan pilihanraya yang adil.
“Mereka menyokong untuk satu tujuan yang murni, bukan untuk memperkayakan mana-mana individu. Tetapi bukankah kini jelas bahawa Rafizi telah diperkayakan oleh Invoke? Saham tersebut bernilai RM16.7 juta kini menurut pengisytiharan beliau sendiri,” katanya.
Rafizi sebelum ini berkongsi sehingga 31 Oktober lalu, aset bersihnya bernilai RM18,851,350. Hanya lebih RM1.1 juta dalam simpanan dan KWSP manakala RM16.7 juta melalui pegangannya dalam syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd.