Rafizi akan ajak Anwar berdebat sekali dengan Najib, minta jangan beri alasan lagi

Syarat baharu Datuk Seri Najib Razak yang mahu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut serta berdebat akan cuba ditunaikan, kata Rafizi Ramli.

Rafizi berkata akan menyampaikan hasrat Najib yang mengajak Anwar untuk turut serta berdebat bersama-sama dan berharap bekas Perdana Menteri itu tidak memberi alasan lain pula selepas ini, ia ekoran syarat baharu yang diletak selepas dicabar bekas Ahli Parlimen Pandan itu baru-baru ini.

“@NajibRazak sebenarnya takut nak berdebat. Jadi dia cari alasan bagi syarat mintak heret @anwaribrahim sekali, sebab dia ingat Presiden PKR pun takut berdebat dengan dia.

“In Sha Allah saya sampaikan kepada @anwaribrahim dan kita sama-sama tengok alasan & syarat baru apa pula Najib nak bagi,” katanya dalam ciapan di Twitter susulan Najib meletak syarat terbaharu.

Rafizi dalam satu wawancara baru-baru ini mencabar Najib untuk berdebat susulan kontroversi isu kewangan Sapura Energy Berhad.

Ia bermula selepas Najib mencadangkan kerajaan supaya menyelamatkan Sapura yang berdepan isu aliran tunai, namun ia disanggah Rafizi yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Terdahulu, Najib berkata dia bersedia untuk menerima cabaran debat daripada Rafizi, namun perlu memanggil Anwar Ibrahim untuk berdebat sama.

“Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia. Dua lawan satu, tiada masalah,” kata Najib menerusi hantaran Facebook.

Bagaimanapun, Najib memberi alasan sekiranya Anwar tidak bersetuju untuk bersama menyertai debat tersebut, Rafizi boleh berdebat dengan pengikut setianya yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Najib sebelum ini menggesa agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy, dengan mengatakan bahawa PNB akan kerugian RM4 bilion jika syarikat itu dibiarkan muflis.

Pada September 2018, PNB telah meningkatkan pegangannya dalam Sapura daripada 12.16 peratus kepada 40 peratus.

Rafizi kemudiannya mendakwa Najib mengutamakan golongan elit perniagaan dalam mencadangkan agar kerajaan menyelamatkan Sapura.

BERITA BERKAIT
POPULAR