
Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarikh Khan.
Puteri UMNO hari ini (12 Januari 2023) mengkritik strategi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) partinya hingga Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah.
Ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan berkata kecelaruan naratif berhubung isu ‘poster boy’ selain mengejar jawatan adalah antara faktor kekalahan UMNO pada PRU-15 lalu.
Faktor ‘poster boy’ katanya menjadikan UMNO bercelaru dengan naratif yang dimainkan, sekali gus menjadi senjata untuk pihak lawan mengatur strategi kemenangan.
“Naratif penceritaan kita menjelang PRU-15 bersimpang-siur. Naratif kita sebagai parti yang mampu mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga kejayaan di Melaka dan Johor semakin kabur dengan naratif lain yang pelbagai.
“Ini termasuk isu siapakah yang patut menjadi poster boy? Kita dilihat lebih ghairah dalam mengejar jawatan-jawatan dalam kerajaan sekiranya kita menang. Kita dilihat lebih banyak membuat persiapan pemilihan dalam parti daripada persiapan PRU-15.
“Semua mengandaikan menang di Melaka dan Johor menjadikan jaminan menang keseluruhan PRU-15. Ini termasuk dalam kalangan mereka yang tidak nampak muka ataupun datang sekadar melepaskan batuk di tangga ketika kita semua bertarung dalam PRN.
“Kita lebih banyak mencatur setelah menang siapa orang dia, siapa orang kita. Naratif kita menjadi celaru,” kata beliau dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bagi sayap Puteri di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara hari ini, menurut Utusan.
Zahida adalah antara calon BN yang kalah pada PRU-15 lalu walaupun beliau diletakkan bertanding di kerusi selamat dan kubu kuat UMNO di Padang Besar, Perlis.
Mengulas lanjur, Zahida mengakui UMNO tidak mempunyai ‘penembak tepat’ bagi mencari kelemahan parti-parti lain, sebaliknya hanya mengasak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
“Masihkah kita ingat mereka pernah menggelarnya maha firaun tetapi memeluknya apabila memerlukan. Di zaman Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah beliau juga diserang peribadinya.
“Begitulah di zaman Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ingat, tukarlah berapa kali pemimpin pun, pemimpin itu akan tetap menjadi sasaran lawan.
“Kelemahan kita, kita tak cukup pandai mencari keburukan pemimpin mereka dan menghina hingga ke tahap yang paling rendah. Apatah lagi membina naratif pembunuhan karakter dan mencipta fitnah.
“UMNO hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan. Kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karakter mereka satu-persatu.
“Kekuatan mereka pula walau apapun tohmahan yang dilemparkan kepada pemimpin mereka, mereka tetap mempertahankan pemimpin yang mereka pilih. Kelemahan kita pula sekiranya pemimpin kita diserang ramai pula kalangan kita turut mencari jalan merebahkan pemimpin kita,” kata Zahida.