
Majlis Rumah Terbuka PN diserbu orang ramai , malam tadi. Gambar FB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) optimis dengan kebanjiran orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka PN malam tadi bakal memberi isyarat positif terhadap gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kagum dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Selangor ke majlis itu bagi menyemarakkan semangat ukhuwah, mengeratkan silaturahim serta persaudaraan bukan sahaja sesama Islam tetapi sesama rakyat Malaysia.
“Saya dapat lihat kehangatan sambutan ini ketika dalam perjalanan ke majlis ini lagi dengan kenderaan sesak di sepanjang jalan.
“Kehadiran puluhan ribu rakyat yang memenuhi dewan dan khemah di luar menjadi petanda awal sokongan luar biasa rakyat Selangor kepada PN menjelang PRN tidak lama lagi.
‘Saya yakin jumlah kehadiran yang luar biasa pada malam ini insya-Allah akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada PN pada PRN nanti.
“Dengan izin Allah kita akan tawan Selangor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang telah kita kuasai sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata rakyat hari ini berdepan kesukaran hidup akibat tekanan ekonomi namun kerajaan campuran PH-BN masih gagal mengurusnya dengan baik
“Dalam kita meraikan sambutan Aidilfitri, rakyat sebenarnya sedang berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup akibat tekanan ekonomi disebabkan kegagalan kerajaan campuran PH-UMNO mengurus ekonomi dengan betul.
“Rakyat sangat berharap, kerajaan campuran dapat memikul tanggungjawab dan amanah menyelesaikan masalah dan kesulitan hidup yang sedang mereka alami.
“Malangnya harapan itu menjadi sia-sia sahaja kerana kerajaan campuran ini tidak berupaya mencari jalan membawa negara keluar daripada segala masalah ini.
“Lihat sahajalah, harga barang keperluan asas terus melambung, kos sara hidup rakyat tidak terurus dan inflasi terus menekan kehidupan sehingga tidak nampak masa depan rakyat akan lebih terjamin dan selamat, katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu sempat melahirkan keyakinan pengundi di Selangor dan lima negeri lain bakal memilih dengan bijak.
“Saya yakin rakyat di Selangor dan negeri-negeri yang akan berhadapan dengan PRN tidak lama lagi akan membuat pilihan bijak memilih PN yang telah membuktikan komitmen serta keupayaan untuk sentiasa membela nasib rakyat ketika menjadi kerajaan Pusat dahulu” katanya.