
PRU-15 mungkin diadakan semasa musim banjir selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sedia meredahnya sekalipun pilihan raya diadakan.
Kerajaan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada musim tengkujuh, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow, hari ini (20 September 2022).
Beliau berkata, risiko kepada nyawa pengundi adalah terlalu tinggi untuk pilihan raya diadakan pada masa banjir.
“Jika (PRU) tidak diadakan pada musim tengkujuh, lain pula ceritanya.
“Tetapi jika musim tengkujuh, kita tidak akan ikut kerana risikonya terlalu tinggi,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Menurutnya pertimbangan negeri sebelum ini sama ada untuk membubarkan DUN pada masa yang sama dengan pembubaran Parlimen akan bergantung kepada masa dan keadaan.
“Jika pembubaran itu lebih hampir kepada penggal penuh, sudah tentu kami akan ikut.
“Tetapi sekarang, Barisan Nasional (BN) begitu berazam untuk mengadakan pilihan raya awal walaupun pada musim tengkujuh,” katanya.
Chow berkata musim tengkujuh adalah masa yang tidak sesuai untuk mengadakan kempen pilihan raya dan pengundian.
“Apa yang berlaku jika ia banjir pada malam sebelum hari pengundian atau pada hari itu sendiri?
“Bagaimanakah pengundi Malaysia boleh menggunakan hak mereka untuk mengundi apabila berhadapan dengan situasi hidup atau mati apabila rumah mereka dinaiki air? Pusat mengundi pun tidak akan terlepas,” katanya.
Chow berkata ramai yang mengecam mereka yang menggesa PRU-15 diadakan pada musim tengkujuh.
Beliau berkata mereka yang mahu PRU-15 diadakan pada masa ini tidak mempertimbangkan logistik atau kesejahteraan pengundi.
“Pengundi tidak boleh pergi ke pusat mengundi jika ia dinaiki air, malah kenderaan peti undi tidak boleh pergi ke pusat mengundi jika ia dinaiki air,” katanya.
Tambahnya, keseluruhan proses pilihan raya akan terancam akibat banjir.
“Bolehkah kita menggelarkan diri kita sebagai negara demokrasi apabila orang ramai tidak dapat mengundi pada hari pengundian kerana sesetengah orang begitu berazam untuk mengadakan pilihan raya semasa musim tengkujuh?” katanya.
Chow berkata, suara rakyat menentang pilihan raya yang diadakan pada musim tengkujuh cukup lantang.
“Walaupun dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, sebilangan kecil yang berjaya mengundi akan mengundi menentang BN kerana mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata, berharap kerajaan mempertimbangkan bantahan keras rakyat terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk membubarkan Parlimen.