Puad Zarkashi MB Johor?

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, Datuk Puad Zarkashi disebut-sebut bakal Menteri Besar Johor baharu menggantikan Datuk Hasni Mohammad.

Nama Puad muncul di tengah-tengah perintah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadap baginda hari ini berhubung pelantikan Menteri Besar (MB).

Bagaimanapun, Zahid mengunci mulut sebaik kembali daripada menghadap Sultan Johor, petang tadi.

Puad menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, mengalahkan tiga calon lain dengan memperoleh majoriti sebanyak 1,930 undi.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat yang sebelum ini menafikan beliau ‘penjilat’ Najib adalah bekas Ahli Parlimen Batu Pahat yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Pada PRU-13, Puad bertanding kerusi berkenaan, namun tewas kepada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jausi dengan majoriti 1,732 undi. Beliau menang kerusi itu pada PRU 2008.

Beliau juga adalah bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ketika Najib menjadi Perdana Menteri sebelum ini, dilihat calon sesuai untuk menjadi MB Johor, berdasarkan pengalamannya.

Nama lain yang disebut-sebut sebagai MB Johor ialah bekas Ahli Exco negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan yang menang kerusi DUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun kelebihannya tetap kepada Puad.

Sementara itu, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang mengekalkan kerusi DUN Benut, pula tidak pasti sama ada beliau akan ke istana untuk mengangkat sumpah jawatan MB.

Memetik laporan media Hasni berkata terpulang kepada keputusan pertemuan Sultan Johor dan Zahid berhubung perkara itu.

“Ini proses biasa selepas SPR dah beri makluman rasmi kepada Sultan Johor, presiden parti akan menghadap,” katanya.

Hasni bagaimanapun enggan mengulas mengenai calon lain yang bakal mengambil alih jawatannya,

Beliau mengangkat sumpah MB Johor ke-18 pada 28 Februari 2020, menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal, daripada Bersatu.

Kelmarin, Hasni dilapor akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan.

Zahid dilapor menegaskan, pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

BERITA BERKAIT
POPULAR