Puad tolak jawatan dalam kerajaan negeri jika menang PRN Johor

Ahli Majlis Tertinggi (UMNO), Datuk Puad Zarkashi tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya berjaya memenangi kerusi ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Puad yang pada mulanya dikatakan bakal menjadi pesaing kepada Menteri Besar (MB) Datuk Seri Hasni Mohamad menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menjelaskan sudah membuat pendirian untuk menolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya ditawarkan kepada beliau.

“Awal-awal lagi saya dah cakap dengan Hasni , saya tidak mahu jawatan Exco sebab beliau perluKan pasukan yang lebih mantap.

“Beri peluang kepada orang muda pula, saya dah memegang jawatan dalam Kabinet, Ahli Parlimen, bagi peluang kepada yang lain,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Beliau turut menegaskan dirinya bukanlah ‘penjilat Datuk Seri Najib Razak’ seperti yang selalu dilabel orang ramai, malah berkata tidak memihak kepada mana-mana kem dalam UMNO.

“Saya adalah orang politik yang tidak mengamalkan pengikut kepada sesuatu kumpulan. Saya bersendirian. Tetapi, saya faham ada setengah dari mereka mungkin bergantung kepada kekuatan seseorang. Tetapi saya tidak begitu.

“Saya bertanding jawatan Majlis Tertinggi, saya nombor 10. saya tak ada jawatan dan tak ikut mana-mana kumpulan,”

“Saya melihat kepada hujah dan fakta. Siapa kata saya tidak pernah kritik Najib? Tapi semua orang tahu, saya kritik pemimpin UMNO, mereka tidak boleh marah sya sebab itu karakter saya. Jadi dakwaan yang kata saya ini ‘penjilat’ Najib tidak betul,” ujarnya.

Puad bakal berhadapan saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada PRN Johor.

BERITA BERKAIT
POPULAR