Puad tanding DUN Rengit, mahu buktikan diri mampu menang

Datuk Mohd Puad Zarkashi menghantar borang pencalonan pagi ini dan bakal berdepan saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu itu membuat penampilan semula pada PRN kali ini, untuk rekod Puad sebelum ini tewas di kerusi Parlimen Batu Pahat semasa PRU-13 kepada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi dan sejak itu tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat akan ditentang calon daripada PKR, Khairuddin A Rahim yang memenangi kerusi DUN Senggarang pada PRU-14.

Dua lagi calon bertanding di DUN Rengit ialah Mohd Huzair Lajis yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Parti Pejuang,

Pegawai Pengurus PRN N25 Rengit, Mohd Mackeen Mohd Shafiee, mengisytiharkan keputusan penamaan empat calon itu yang sah bertanding di DUN Rengit, selepas pihaknya berpuas hati dengan dokumen penamaan calon yang diserahkan mengikut masa ditetapkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR