
Puad ditegur rakan satu parti, Asyraf kerana mengkritik Rafizi.
Kritikan sebelum terhadap pakar formula PKR, Rafizi Ramli dipertahankan Datuk Mohd Puad Zarkashi atas alasan ia satu teguran yang baik.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata tidak semestinya seorang menteri yang kurang menunjukkan prestasi baik tidak boleh ditegur walhal kritikan tersebut bagi melihat kerajaan campuran menjadi lebih kukuh dan kuat.
“Pada saya Umno perlu ada pendirian iaitu jika berlaku perkara-perkara yang melampaui batas di mana ada di kalangan menteri tidak cekap tidak pandai mengurus takkan kita nak biarkan?
“Mereka juga perlu ditegur untuk memastikan Kerajaan Perpaduan kuat.
“Tetapi, pokoknya saya yakin bahawa kita setuju Kerajaan Perpaduan harus dipertahankan kerana ini mendokong titah Yang di-Pertuan Agong dan tidak ada pilihan maksudnya jika sekiranya kerajaan ini lemah kestabilan tidak ada,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Puad terdahulu menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2023 malam ini.
Puad diminta mengulas berhubung ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta pemimpin parti itu menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan kritikan.
Terdahulu, ketika berucap Mohamad berkata segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan.
Puad sebelum ini mempersoalkan persiapan Rafizi sebagai menteri dan menyindirnya susulan memiliki banyak formula ketika menjadi pembangkang.
“Apakah Rafizi tiada persiapan untuk jadi menteri. Itu masalahnya bila banyak sangat formula sebelum jadi Menteri. Bila jadi menteri tidak boleh biasa biasa. Mesti luar biasa.
“Jangan nanti rakyat kata ‘Rafizi turun, ringgit naik’. Agaknya itu punca timbul cerita akan berlaku rombakan kabinet. Menteri kena luar biasa untuk pertahankan kerajaan perpaduan,” katanya.
Rafizi baru-baru ini dilaporkan media sebagai berkata menguruskan ekonomi negara perlu dilihat dalam perspektif menyeluruh kerana ia bukannya semata-mata ditentukan oleh nilai mata wang.
Katanya lagi, banyak perkara perlu dilihat termasuk soal pertumbuhan ekonomi, inflasi, kadar kutipan hasil negara dan fiskal defisit.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegur Puad yang disifatkan ‘tembak kaki sendiri’ itu tidak menguntungkan kerajaan campuran hari ini.