Puad mahu Menteri Bersatu letak jawatan untuk runtuhkan kerajaan Ismail Sabri

Selepas menang besar di Johor, seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Puad Zarkashi mahu Menteri Kabinet daripada Bersatu supaya meletak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya umum (PRU-15) diadakan dengan segera untuk memilih kerajaan baharu.

Puad yang baharu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac, mencabar Menteri Bersatu untuk melepaskan jawatan mereka selepas kekalahan teruk di Johor dan jika langkah tersebut diambil ia bakal meruntuhkan kerajaan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sedia letak jawatan dalam parti kerana PPBM (Bersatu) kalah teruk di PRN Johor. Sepatutnya Muhyiddin dan Menteri Menteri dari PPBM letak jawatan dalam kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Puad juga berkata UMNO diserang secara bertubi-tubi semasa PRN Johor dan sekali lagi mencabar Muhyiddin untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Ismail Sabri pula.

“Muhyiddin menyerang UMNO dan pemimpin UMNO dengan kasar. Justeru bermaruahkah Muhyiddin dan Menteri PPBM terus kekal dalam Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO?

“Tekanlah ‘button’ jika bermaruah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ismail Sabri  mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen (MP) untuk dilantik menjadi PM, tetapi daripada jumlah itu hanya 42 MP terdiri daripada gabungan UMNO/Barisan Nasional (BN).

Sementara selebihnya daripada beberapa parti komponen lain yang berada dalam Perikatan Nasional (PN), antaranya Bersatu, PAS, GPS dan beberapa sokongan MP Bebas lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR