
Datuk Mohd Puad Zarkashi disaman kerana membuat fitnah.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan calon Rengit, Datuk Puad Zarkashi bakal dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac nanti.
Zahid sebaliknya berkata Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga MB Johor sebelum ini kekal sebagai calon yang disukainya dan Barisan Nasional (BN) sudah memuktamadkan beliau sebagai satu-satunya calon tunggal dan bukannya Puad.
“Tidak ada calon lain sebab apa yang saya cakap itu kita akan buat, kita tahu kuasa melantik MB kuasa tuanku, tetapi jangan lagakan saya, lagakan saya kononnya saya nak Puad, lagakan saya kononnya saya nak orang itu dan orang ini, tidak sama sekali.
“Sekali saya suka (Hasni) saya akan tetap suka dan akan lonjak beliau,”katanya ketika berucap di Bilik Gerakan BN Parlimen Iskandar Puteri.
Zahid menafikan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang kononnya Puad cuba melobi untuk menjadi MB Johor bagi menggantikan Hasni memandangkan mempunyai hubungan rapat dan dianggap sebagai pengikut setia Zahid itu.
“Kononnya saya memberikan dokongan kepada calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit (Puad) untuk jadi MB, orang itu (Wan Saiful) mimpi ke apa, saya umum bahawa poster boy, calon MB kita jika atas diperkenan Tuanku ialah Hasni,” katanya lagi.
Terdahulu, Wan Saiful menerusi catatan Facebook mendakwa semasa ke Rengit baru-baru ini, beliau mendengar khabar bahawa Puad sudah beberapa minggu giat melobi jawatan MB bagi menggantikan Hasni sekiranya BN menang.
“Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah sebagai ahli MKT yang dilantik sendiri oleh Zahid , dia boleh membawa Umno Johor lebih rapat dengan agenda Presiden Umno itu berbanding Hasni.
“Puad dikatakan telah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib Razak, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” kata Wan Saiful.