PRU15: Zahid ingatkan Ismail Sabri supaya patuh keputusan MT

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini seolah-olah memberi peringatan kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mematuhi keputusan yang akan dibuat Majlis Tertinggi (MT) berhubung mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih awal.

Walaupun, MT belum bermesyuarat dan berbincang mengenai usul-usul yang dibawa oleh UMNO bahagian, tetapi berdasarkan kenyataan beliau hari ini, pimpinan tertinggi parti itu sudah menetapkan PRU15 perlu diadakan sebelum tamat penggal Parlimen pada 2023.

Sebab itu, Zahid mengingatkan Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri supaya mematuhi sebarang keputusan dibuat oleh MT untuk mengadakan PRU15 lebih awal.

Lagi pula, Perdana Menteri sekarang ini tidak mahu tergesa-gesa mengadakan PRU15 lebih awal sebelum berakhir penggal Parlimen pada 2023, sementara pemilihan UMNO perlu diadakan selewat-lewatnya November tahun depan.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Pahang, Ismail Sabri mengingatkan semua pihak terutama UMNO untuk tidak mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen.

Menurutnya walaupun sebagai PM beliau boleh memikirkan tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen, namun ia perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Bubar Parlimen bukan hak mutlak Perdana Menteri kerana mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jangan kita mendahului kuasa Seri Paduka dan jangan kita mendahului membuat kenyataan dalam perkara bidang kuasa Seri Paduka,” katanya.

Sekarang ini, hanya UMNO yang dilihat begitu galak mendesak supaya PRU15 diadakan kerana mereka tidak berkuasa penuh ke atas kerajaan hari ini walaupun ia dipimpin Naib Presiden UMNO. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Zahid pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, hari ini berkata UMNO menaruh keyakinan Ismail Sabri akan membuat keputusan untuk mengadakan PRU15 berdasarkan ketetapan yang akan diputuskan oleh MT kelak.

Beliau berkata ibu pejabat akan meneliti berapa yang mahukan pilihan raya awal, berapa yang mahukan pemilihan awal dan pihaknya tidak boleh membuat kesimpulan pada hari ini, kerana mesyuarat belum tamat sepenuhnya.

Menurutnya ketetapan itu berdasarkan suara pada peringkat akar umbi, termasuk sayap Pemuda dan Puteri UMNO yang mengusulkan supaya PRU15 diadakan lebih awal sebelum tamat penggal Parlimen pada 2023.

“Semua usul-usul ini akan dikumpulkan, sebelum ia dibentangkan kepada lima pemimpin utama parti untuk kita pula akan membentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO, sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Semalam, 176 Pemuda UMNO Bahagian serta 171 Puteri UMNO Bahagian daripada keseluruhan 191 UMNO Bahagian di seluruh negara, bersetuju mengusulkan PRU15 diadakan lebih awal daripada pemilihan parti.

Dalam pada itu, Zahid memberi alasan kelewatan mengadakan PRU15 akan menyukarkan UMNO untuk menangani pelbagai tuduhan dan fitnah, seperti mana yang berlaku pada PRU14 lalu.

Zahid pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) selama kira-kira 33 bulan dan kini berdepan tuduhan jenayah di dua Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Pengerusi BN itu berdepan 40 tuduhan menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) kerajaan.

Sebanyak 33 pertuduhan adalah berkaitan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Tujuh pertuduhan lagi, Presiden UMNO itu didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan Yayasan Akalbudi.

Dua belas daripada pertuduhan itu membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan wang berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 19 Mac lepas, pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah telah mengarahkan pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing pada 28 Mei dan menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 hingga 2 Julai sebagai tarikh pendengaran bagi hujahan lisan.

Berita berkaitan

BERITA BERKAIT
POPULAR