
Penganalisis politik Profesor Wong Chin Huat.
Penganalisis politik Profesor Wong Chin Huat sependapat dengan pendedahan bahawa UMNO ingin mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada musim bencana sebagai strategi untuk memastikan peratus keluar mengundi adalah rendah.
Sebelum ini, Agenda Daily pada 1 Oktober lalu melaporkan pemilih akan berdepan masalah untuk keluar membuang undi jika PRU-15 diadakan ketika musim hujan dan banjir, sekali gus menyebabkan peratusan pengundi yang keluar melaksanakan tanggungjawab mereka, akan rendah.
Peratusan rendah pengundi yang keluar akan memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah lama memiliki ‘pengundi putih dan tegar’ yang akan menjadi fokus utama parti itu untuk dibawa keluar membuang undi.
Seperti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, peratusan mengundi yang rendah boleh memberikan kelebihan buat UMNO dan BN untuk menang.
Mengulas perkara itu, Wong berkata pembubaran Parlimen bagi membuka ruang kepada PRU-15 ketika musim tengkujuh dilihat sebagai strategi sesuatu parti politik untuk memastikan peratus keluar mengundi rendah, sekali gus memenangkan mereka.
Bagaimanapun, menurutnya strategi berkenaan mempunyai kelemahan kerana pada akhirnya rakyat akan sekali lagi bangkit menghukum si pelaku seperti mana yang terjadi pada PRU-14 lalu.
“Saya rasa ada pihak rasakan bahawa PRU (perlu) dipercepatkan dalam keadaan pembangkang tidak bersedia dan ada pihak harapkan bahawa keadaan banjir akan menyekat pengundi.
“Ini dapat dilihat kepada keputusan PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor apabila ramai tidak pulang mengundi, maka menguntungkan satu pihak itu,” katanya dalam wawancara dengan Buletin AWANI hari ini, tanpa menyatakan parti berkaitan.
Pada PRN Melaka Ke-15 menyaksikan jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 65.85 peratus atau 326,068 daripada 495,195 pengundi, berbanding sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 70 peratus.
Sementara, pada PRN Johor pula menyaksikan hanya 54.92 peratus pemilih keluar membuang undi. Peratusan itu merangkumi 1,426,573 pemilih daripada jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kedua-dua PRN itu diadakan ketika negara belum memasuki fasa peralihan endemik Covid-19 yang menyaksikan beberapa sekatan dikenakan oleh Kementerian Kesihatan.
Mengulas lanjut, Wong berkata strategi untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi juga mempunyai kelemahan kerana berdasarkan PRU-14 apabila SPR mengumumkan hari mengundi pada Rabu dengan perhitungan untuk kurangkan kadar pengundi, namun, kesan sebaliknya pula berlaku.
“Rakyat marah dan mereka bekerjasama dalam membantu pengundi di luar kawasan untuk balik mengundi. Dan perkara sama sekalipun kalau banjir, saya rasa pengundi atas pagar turut akan marah dan menolak parti itu,” kata beliau lagi.
Chin Huat menegaskan, parti yang beria-ia mahukan PRU-15 segera diadakan perlu melihat perhitungan sedekikian, sekali pun mereka kurang bertimbang rasa mengenai kesusahan rakyat.
Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat lepas bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini juga.
Untuk rekod, MetMalaysia meramalkan Malaysia bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang sekali gus akan menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan itu.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November depan dan berakhir Mac 2023.
Ini sebab mengapa UMNO, BN pilih PRU-15 musim tengkujuh, banjir