PRU awal atau pemilihan parti dahulu, apa kata perwakilan UMNO?

UMNO kini dalam dilema, sama ada mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) atau pemilihan parti tersebut terlebih dahulu, bagaimanapun mood perwakilan nampaknya cenderung untuk menyokong sekiranya PRU-15 lebih awal.

Sebelum ini, pemilihan parti itu ditangguhkan atas alasan penularan Covid-19 dan bimbang sekiranya ahli-ahli UMNO terdedah dijangkiti virus tersebut, namun dalam tempoh sama juga tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan walaupun ketika itu negara masih berdepan krisis kesihatan.

Beberapa pemimpin UMNO semasa perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU) mempunyai pandangan berbeza-beza berhubung keperluan untuk mengadakan PRU-15 dengan segera, terdapat yang senada dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ada juga yang tidak bersetuju sekiranya ia disegerakan.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sebarang keputusan sama ada mengadakan PRU atau pemilihan parti, ia perlu mengambil kira keuntungan yang akan memihak kepada parti.

“Selalunya penilaian dibuat berdasarkan apa yang memberi keuntungan kepada parti. Kalau dikatakan tempoh pilihan raya dengan tempoh pemilihan parti berada saling bersaingan, perlu didahulukan pilihan raya. Biar seiring atau keseiringan parti dan kerajaan kerana kali ini diperintah Perdana Menteri orang UMNO.

“Beliau (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) membawa perjalanan yang bermula bagaimana parti kita dari 2018 menjadi pembangkang dan takdirnya kita masuk sebagai sebahagian kerajaan. Kalau Menteri UMNO buat kerja dengan elok, menjadi penyelesaian kepada rakyat, nama baiknya adalah Perdana Menteri yang datang daripada UMNO,” katanya dipetik laporan media.

Namun, Reezal Merican berkata keputusan membubar Parlimen perlu mengikut proses yang sepatutnya, dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, seperti kuasa yang diperuntukkan kepada baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata langkah untuk membubarkan Parlimen tidak boleh membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Jangan membelakangkan hak membubar Parlimen yang berada dalam tangan Yang di-Pertuan Agong. Pada masa sama, apa saja keputusan baginda datang bersama nasihat Perdana Menteri. Jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh.

“Kita bertindak berlebihan dan terlanjur untuk memastikan sesuatu, kita sendiri tidak tahu kedudukan masing-masing, parti, Perdana Menteri serta kuasa menentukan PRU di tangan Tuanku,” katanya.

Senada dengan Hishammuddin, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berpendapat UMNO tidak boleh membuat keputusan secara bersendiri mengenai PRU-15 kerana berada dalam kerajaan yang mempunyai gabungan dengan parti lain.

“Apa yang penting, soal pembubaran Parlimen ini adalah satu daripada tiga perkara yang menjadi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi, apa juga yang mahu dibincangkan tidak boleh mendahului kuasa baginda. Ada sesetengah orang tidak faham, ingat semuanya kuasa Perdana Menteri.

“Soal pembubaran Parlimen perlu dibincang secara tertib dan saya nampak, Presiden cukup cermat dalam ucapannya tadi, yang mengatakan perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukannya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahmad Zahid kerana merintis jalan ‘penyatuan’ di antara pemimpin dalam parti dan kerajaan.

“Perkara penting yang disentuh dalam ucapannya adalah usaha untuk menyatukan dan membawa suasana harmoni dalam parti, sebab sebelum ini wujud persepsi kononnya ada kabilah itu dan kabilah ini.

“Kekuatan UMNO selalunya datang apabila kita bersatu dan kita menjadi ketumbukan politik yang hebat. Ini satu ucapan yang mempromosikan semangat keharmonian dalam parti, antara pemimpin parti dan pemimpin UMNO dalam kerajaan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR