
Pelancaran jentera kempen Pemuda BN dihadiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Gambar Agenda Daily Hiekal Rosli.
Walaupun pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan semasa musim banjir, Barisan Nasional (BN) sedia berkempen untuk memenangi pilihan raya, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga Pengerusi BN berkata Ismail Sabri perlu membubarkan Parlimen tahun ini juga bagi memberi laluan PRU-15 diadakan walaupun menyedari berkemungkinan ketika itu rakyat sedang berdepan musim banjir yang kebiasaannya berlaku pada hujung tahun.
“Kita tahu ada kekangan, akhir tahun ini ada banjir, ada hujan lebat, ada monsun timur laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar parlimen, banjir pun kita sanggup redah untuk berkempen. Sewaktu banjir Pemuda Wanita, Puteri, BN turun lebih ramai dari parti lain.
“Sanggup ke turun? Sanggup berkempen masa banjir? Sanggup kempen masa hujan leba? Sanggup kempen masa ribut taufan? Saya nak tengok siapa yang sanggup?” Kata Zahid ketika berucap sempena pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa hari ini.
Sewaktu ucapan tersebut juga, laungan ‘bubar’ juga kedengaran daripada hadirin yang hadir, malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga turut berada pada program sama.
Zahid juga semasa ucapannya juga menggesa supaya Ismail Sabri segera membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen sebaik pulang dari New York selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77 (UNGA).
Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang sekali gus akan menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan itu.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.
METMalaysia meramalkan, sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran kepada UMNO jika masih berdegil mengadakan PRU-15 semasa rakyat sedang susah berdepan banjir, mereka berjanji akan menyumbat semua pemimpin Kluster Mahkamah ke dalam penjara selepas itu.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan perbincangan tarikh PRU-15 melibatkan ‘top five’ UMNO akan diadakan pada 30 September.
Ahmad dalam satu kenyataan ringkas memberitahu perbincangan tarikh PRU-15 itu yang sepatutnya berlangsung esok ditangguhkan pada 30 September.
Dalam kenyataan sama, perbincangan tarikh PRU-15 itu akan berlangsung semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung pada malam sama.
Ahmad berkata tarikh awal mesyuarat itu ditangguhkan kerana Ismail Sabri perlu menghadiri majlis rasmi di Bangi.