PRU-15 wajar disegerakan, tapi kerajaan sekarang bukan satu parti: Annuar

Veteran UMNO Tan Sri Annuar Musa berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar disegerakan sekiranya parti itu dan Barisan Nasional (BN) telah bersedia, namun terpulang kepada Perdana Menteri (PM) menentukan tarikhnya.

Pendapatnya bertentangan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak bersetuju PRU-15 diadakan dalam masa terdekat selagi keadaan kesihatan rakyat belum stabil sepenuhnya akibat pandemik Covid-19. Berita berkaitan

Bagaimanapun, Annuar menegaskan bahawa apa yang perlu difahami sekarang ini ialah kerajaan sedia ada bukan kerajaan satu parti.

“Justeru, perbincangan dalam kerajaan juga wajib diambil kira selain peraturan dan peruntukan dalam Perlembagaan,” katanya mengulas desakan sekelompok ahli UMNO supaya PM membubarkan Parlimen setelah BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

Semalam, laungan ‘bubar Parlimen’ bersahutan di ibu pejabat UMNO Johor, selepas BN menang lebih dua pertiga kerusi pada PRN Johor, sekali gus membentuk kerajaan baharu tanpa Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mesti berunding dengan gabungan itu sekiranya hendak membubar Parlimen.

“Secara umumnya PN mempunyai 72 Ahli Parliman (MP) manakala UMNO 42 MP,” katanya malam semalam sebagai mengulas desakan kelompok UMNO supaya PRU-15 diadakan.

Untuk rekod, Ismail Sabri  mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen untuk dilantik menjadi PM, tetapi daripada jumlah itu hanya 42 MP terdiri daripada gabungan UMNO/BN, sementara selebihnya daripada beberapa parti komponen lain yang berada dalam PN, antaranya Bersatu, PAS, GPS dan beberapa sokongan MP Bebas lain.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata PRU bukan suatu perkara kecil, apa lagi untuk membubarkan sebuah kerajaan yang sedang memerintah dengan mandat daripada hampir seluruh anggota Dewan Rakyat.

“Kebetulan pula PM mewakili parti minoriti (42/116 dalam Parlimen dianggotai 222 ahli) dalam gabungan pelbagai parti,” katanya menjelaskan PRU tidak boleh diadakan hanya untuk mengikut jerit pekik sekumpulan kecil yang sedang dalam euphoria kemenangan PRN.

Menurutnya apa yang lebih penting ialah tarikh pembubaran Parlimen itu mesti menjadi rahsia besar parti memerintah dan hak budi bicara PM.

“Lebih penting lagi, tarikh pembubaran mesti menjadi rahsia besar parti memerintah. Tidak pernah tarikh pilihan raya dan pembubaran kerajaan nak ditentukan melalui desakan terancang dan terbuka. Ia umpama memasang jerat di kepala sendiri. Ia harus kekal rahsia dan sebagai hak budi bicara PM.

“Pucuk pimpinan tertinggi parti harus berbincang dengan teliti, dan boleh memberi pandangan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Berita berkaitan

BERITA BERKAIT
POPULAR