PRU-15 Tun M tak pertahan Langkawi

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kepada calon lebih muda untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurutnya keputusan beliau untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang dibuat atas faktor usia dan kesihatan yang belum pulih sepenuhnya setelah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya jika kesihatan mengizinkan beliau akan terus berkempen untuk parti Pejuang sekiranya diperlukan.

“Saya tak pulih semula lagi, masih lemah, masih tak kuat. Tapi takat nak pi (pergi) Johor, nak cakap sikit-sikit tu boleh. Nak datang ke langkawi nak kempen sikit-sikit pun, bolehlah. Tapi, saya ingat kita bagi peluang pada orang lain.

“Belum kenal pasti calon yang akan bertanding. Tapi, kita (Pejuang) nak cari orang lebih muda daripada saya,” katanya memetik laporan Utusan ketika ditemui selepas melawat Lang Agro Farm di Kampung Padang Gaong, Ulu Melaka, Langkawi, hari ini.

Pada PRU-14 lalu, Dr Mahathir menang kerusi Parlimen Langkawi atas tiket PKR mengalahkan Datuk Nawawi Ahmad daripada Barisan Nasional, dan Zubir Ahmad )PAS) dengan majoriti 8,893 undi.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata beliau mahu memberi peluang kepada calon baharu yang lebih muda dan sesuai bagi kerusi Parlimen Langkawi.

“Saya boleh ada bersama, saya boleh bagi nasihat, saya boleh ambil bahagian dalam kempen. Kalau ada tempat yang saya perlu hadir, saya akan hadir, dan mungkin bercakap sikit. Untuk membantu kempen calon,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR