PRU-15: PH tubuh tiga jawatankuasa

Pakatan Harapan (PH) mula membuat persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila hari ini mengumumkan pembentukan tiga jawatankuasa pilihan rayanya.

Ketiga-tiga jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Pilihan Raya; Jawatankuasa Manifesto; dan Jawatankuasa Jelajah Harapan, kata PH dalam kenyataannya hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Look serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

PH turut mengulangi pendirian Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan Parlimen bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi di Malaysia.

Majlis Presiden PH juga menjelaskan akan melipat gandakan usaha, merangkul seluruh kekuatan pembangkang untuk memastikan PRU ke-15 menjadi milik rakyat.

“Menang kalah dan jatuh bangun itu adalah rasmi perjuangan,” katanya.

PH komited menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) kerana terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 1963 adalah berdasarkan kepada persefahaman dan niat ikhlas pemimpin terdahulu.

“Segala peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak perlu dilaksana seperti perkara 112C dan 112D yang mana tafsirannya perlu dibuat berdasarkan niat Perlembagaan dan bukannya untuk menidakkan hak Sabah dan Sarawak,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR