
Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang, sebaliknya mengharapkan kerjasama dengan parti lain untuk berdepan lawan.
Perkara ini disahkan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas perasmian Pemukiman Pejuang Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Difahamkan, Pejuang memerlukan kerjasama parti lain setelah menyedari tidak mendapat sambutan orang ramai, khususnya apabila diperhatikan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Pada PRN Melaka yang berlangsung 20 November tahun lalu, Pejuang tidak menyertainya kerana tahu bahawa parti itu tidak mendapat sokongan pengundi.
Malah, parti itu beranggapan PRN berkenaan cuma mainan politik pihak tertentu, selain keadaan semasa negara yang masih berdepan penularan Covid-19 bukan masa terbaik untuk pilihan raya diadakan.
Namun, pada PRN Johor, Pejuang meletakkan 42 calon tetapi tidak memenangi satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Malah majoriti dalam kalangan calonnya hilang wang pertaruhan. Undian paling rendah diperoleh Pejuang difahamkan di Bukit Naning di mana calonnya, Datuk Ibrahim Shafe’e hanya mendapat 86 undi.
Mengulas lanjut, Mukhriz dilaporkan berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan beberapa parti sama ada dalam kerajaan, pembangkang dan parti-parti yang berkecuali.
“Kemungkinan besar kita tidak akan sertai PRU-15 dengan berseorangan. Jadi kita memang dah bincang dengan beberapa parti termasuk parti kerajaan, pembangkang dan parti yang tidak menyokong mana-mana pihak (berkecuali).
“Perbincangan itu dibuat secara tidak formal dan perbincangan formal akan diadakan dalam masa terdekat. Kita terbuka untuk kerjasama ini, baik dari segi gabungan atau pakatan literal,” katanya lagi.
Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Jerlun itu, kerjasama antara Pejuang dengan mana-mana parti untuk berdepan PRU-15 belum dimuktamadkan.