
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.
Parti gabungan Perikatan Nasional (PN), PAS, membayangkan menggunakan logo ‘bulan’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang kerana berpendapat langkah itu mempunyai kelebihan tersendiri.
Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin berpendapat logo parti itu sudah dikenali ramai sejak 70 tahun lalu dan akan memberi kelebihan kepada calon parti berkenaan untuk menang.
“Imej ‘bulan’ selama ini diketahui bersih, sekali gus berkelebihan membantu memenangkan calon-calon bertanding.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini (guna) lambang PN.
“Ada yang keliru apabila orang ingat lambang tersebut Barisan Nasional (BN). Apa pun, putuskanlah segalanya secara bersama dalam Majlis Presiden PN,” katanya menurut Utusan.
Hashim menyerahkan keputusan berhubung penggunaan logo yang akan digunakan dalam PRU-15 kepada pihak tertinggi PN.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dilaporkan berkata parti itu perlu menggunakan logo sendiri sebagai strategi untuk mencapai kemenangan dalam PRU-15.
Menurut Zuhdi kelonggaran itu perlu diberikan terutama di kawasan kubu kuat atau yang mempunyai potensi terutama di kawasan Pantai Timur dan di negeri lingkaran Melayu.
Sebelum ini, PAS menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Melaka bagi mencerminkan semangat muafakat dalam kalangan parti-parti anggota gabungan tersebut.