
Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz.
Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kekal dengan pendirian yang dibuat tahun lalu untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bulan depan.
Katanya, meskipun bakal calon nanti tidak sepertinya namun beliau yakin setiap pemimpin mempunyai kelebihan tersendiri.
“Ramai bertanya adakah saya masih berpegang kepada keputusan yang dibuat setahun yang lalu. Jadi hari ini saya nak beritahu, ya saya masih dengan pendirian yang sama.
“Saya tidak akan bertanding pada PRU-15 dan akan memberi laluan kepada muka baharu di kerusi tersebut. Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Insya-ALLAH Padang Rengas akan kekal di bawah UMNO dan BN pada PRU-15 ini biarpun bukan saya yang bertanding.
“Kita kena beri peluang kepada muka baharu. Memang tidak akan ada seorang lagi Nazri Aziz tetapi setiap orang akan ada kelebihan sendiri,” katanya lapor Astro Awani.
Setahun lalu, Nazri yang juga penyandang Parlimen Padang Rengas mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas pada PRU-15 untuk memberi laluan kepada muka baharu.
Selain Nazri, terdapat beberapa lagi pimpinan UMNO yang memilih mengundur diri termasuk Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan terdapat beberapa Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menolak untuk dicalonkan mewakili BN pada PRU-15.