PRU-15 nak tunggu apa lagi, gesa Zahid kepada Ismail Sabri

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menghantar isyarat kepada perwakilan UMNO supaya meneruskan desakan agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin.

Dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 hari ini, Presiden UMNO itu berkata parti bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju sendiri.

“Apabila mood di bawah. Dalam PRK, dalam PRN ke arah pada kita. Nak tunggu apa lagi? (bubar Parlimen),” tegas Zahid sambil memaklumkan bahawa UMNO juga memahami bahawa kuasa untuk membubar Parlimen adalah keputusan Kabinet.

Semua itu, katanya menuntut satu pembaharuan institusi politik dilaksanakan segera, demi memastikan kecelaruan politik dapat ditamatkan.

Sehubungan itu, katanya UMNO perlu tampil berani untuk bercakap soal pembaharuan institusi politik termasuk pembaharuan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, bagi memastikan suara rakyat dimartabatkan dalam soal penggubalan undang-undang negara dan negeri.

Dalam ucapan sama Zahid juga mengingatkan bahawa pembangkang yang menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri mempunyai muslihat tertentu.

“Dalam legenda Helen of Troy, seorang wanita telah menghancurkan sebuah negara daripada dalam. Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita.

“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu.

“Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita. They never love us! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita.

“Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi?,” soalnya sambil menyerahkan jawapan kepada Ismail Sabri.

Terdahulu, Pakatan Harapan berkata mereka bersedia meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke yang berkata, pembangkang tiada masalah untuk meneruskan MoU itu, lebih-lebih lagi selepas pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang antilompat parti diluluskan nanti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pada masa sama, Ismail Sabri tidak perlu melayan desakan sesetengah pihak supaya PRU-15 disegerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR