
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) mungkin menjadi penggal terakhir untuk bertanding, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mantan Perdana Menteri (PM) itu berkata mungkin sudah sampai masanya untuk menimbang persaraan daripada politik tetapi ia bergantung kepada sebarang keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti sebelum memuktamadkan keputusannya nanti.
“Mungkin penggal akhir, lepas itu berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu-cucu. Ramai lapan orang, anak-anak.
“Mungkin sudah sampai masa, tapi mungkin juga kalau keadaan mendesak dan memerlukan insya-Allah kita akan fikirkan perkara itu,” katanya ketika menjawab soalan moderator ketika sesi dialog Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama belia di Kuala Terengganu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, beliau bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan untuk meneruskan bakti kepada rakyat.
“Badan masih sihat. Dulu kena kanser, doa semua makbul, Allah kurniakan saya kesihatan. Kalau pukul ‘golf’, sekali pukul 200 meter tu boleh pergi lagi. Maknanya tu masih boleh berkhidmat,” katanya lagi.
Muhyiddin menjadi PM kelapan selepas tumbang kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semasa pemilihan pengganti Dr Mahathir, Muhyiddin berjaya mendapat majoriti untuk dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara daripada parti yang menyokongnya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berdepan tentangan daripada kluster mahkamah yang tidak berpuas hati dengan pentadbirannya kerana enggan masuk campur dalam perbicaraan yang sedang dihadapi pemimpin UMNO waktu itu.
Kluster mahkamah berkomplot dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai seorang cikgu oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ekoran komplot tersebut, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin tumbang selepas hilang majoriti dan meletak jawatan kemudiaannya bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi penggantinya.