
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi tidak bertanggungjawab jika mahu membubarkan Parlimen sejurus selepas membentangkan Bajet 2023 seperti khabar angin yang bertiup.
Ahli Parlimen (MP) Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata Ismail Sabri mesti memastikan bajet itu tetap dibahaskan dan diundi selepas ia dibentangkan kerana ia akan menjadi tidak sah jika tidak dilakukan.
“Saya menasihatkan Datuk Seri Ismail sebagai perdana menteri dan kerajaan sekarang, supaya membentangkan Bajet 2023 yang sepatutnya.
“Kita tidak mahu pembentangan bajet olok-olok atau boneka pada 7 Oktober hanya kerana perdana menteri dan Kabinet sebenarnya telah memutuskan untuk membubarkan Parlimen selepas pembentangannya.
“Jika itu benar-benar berlaku, bajet yang dibentangkan pada 7 Oktober akan menjadi sia-sia,” kata Hassan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas khabar angin bahawa Ismail Sabri akan cuba membubarkan Parlimen sejurus selepas membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.
Hassan menegaskan bahawa kegagalan memastikan bajet itu melalui proses penuh bermakna ia tidak akan sah, memerlukan pentadbiran seterusnya membentangkan satu lagi rancangan perbelanjaan Persekutuan.
Beliau seterusnya mendakwa Bajet itu akan mengandungi insentif yang bertujuan menarik sokongan kepada kerajaan yang memerintah sekarang.
Hassan juga berkata kerajaan juga dilihat tidak mengambil berat jika ia merancang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November kerana dijangka banjir ketika itu.
Sabtu lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata PRU-15 mesti diadakan dengan segera walaupun semasa musim banjir melanda negara dan membidas pembangkang yang didakwa kepanasan kerana takut akan kalah.
Cakap-cakap mengenai PRU-15 semakin berlegar apabila Ismail Sabri terus mendapat tekanan daripada partinya untuk mengadakan PRU.
Khabar angin ini terus diperkuatkan lagi apabila Ismail Sabri mengumumkan bahawa Kabinetnya akan membentangkan Bajet 2023 tiga minggu lebih awal, iaitu pada 7 Oktober, dengan penganalisis meramalkan bahawa beliau akan membubarkan Parlimen pada hari berikutnya.