
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berhasrat bertanding di kawasan Parlimen Kubang Pasu.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesah mahu bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukanya di Parlimen tersebut.
Memetik Utusan, Wan Saiful berkata beliau adalah ahli Bersatu Kubang Pasu dan telah menggerakkan jentera parti di bahagian itu untuk memastikan dapat merampas kawasan Parlimen itu pada PRU-15 akan datang.
“Bahagian saya di Kubang Pasu dan saya akan bantu jentera Bersatu di Kubang Pasu dan sudah tentu minat saya di Parlimen itu.
“Saya buat kerja di situ dan sedia bertanding di (Parlimen) Kubang Pasu,” katanya selepas perjumpaan tertutup penerangan Bersatu di Marang, Terengganu, semalam.
Kerusi Parlimen itu sekarang disandang oleh Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), setelah menang atas tiket Bersatu.
Pada PRU-14, Amiruddin menang Parlimen Kubang Pasu dengan majoriti sebanyak 13,009 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Baharom (16,975 undi) dan calon PAS, Norhafiza Fadzil (13,375 undi).
Mengulas lanjut Wan Saiful bagaimanapun berkata keputusan akhir siapa yang akan bertanding mesti diserahkan kepada pucuk pinginan parti yang mungkin ada data yang lebih daripada beliau miliki.
Selain itu, katanya penentuan calon di Parlimen itu juga akan dibincangkan dengan PAS sebagai rakan dalam Perikatan Nasional (PN).