
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ,Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan lapan calon pertama gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), termasuk dirinya dan anaknya.
Dr Mahathir mengatakan beliau akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Langkawi sementara anaknya yang juga Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, akan diturunkan lagi di Parlimen Jerlun.
Begitu juga Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Kubang Pasu.
Ketiga-tiga kerusi itu berada di Kedah dan dimenangi pada 2018 atas tiket PKR apabila tiga penyandang itu pernah bersama Bersatu.
Dr Mahathir juga mengumumkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Harumaini Omar dari Batang Kali dan Mohd Shaid Rosli dari Jeram, masing-masing akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Ketua sayap Wanita Pejuang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, akan diturunkan di Sepang, manakala ketua sayap Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi akan bertanding di Tapah.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan bertanding di Titiwangsa, yang bakal menjadi kerusi panas di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata GTA akan menggunakan logo Pejuang untuk PRU-15 di sekurang-kurangnya di 100 kerusi, kerana gabungan itu masih tidak berdaftar.
Beliau berkata jumlah itu boleh meningkat kepada 120 kerusi, bergantung kepada perkembangan di Johor dan Sabah.
“Kami telah mengenal pasti kawasan yang akan kami tandingi dan jumlahnya akan melebihi 100.
“Bagaimanapun, kami masih belum membuat kesimpulan kerusi di Johor dan Sabah. Apabila kita boleh memuktamadkannya, jumlah kerusi yang akan kita tandingi akan melebihi 120,” katanya.