
Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Gombak menjanjikan kuota 30 peratus kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada anak Gombak yang layak sekiranya BN dipilih menjadi perwakilan kawasan itu.
Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan keberadaan institusi pengajian tinggi itu di sini sepatutnya memberi limpahan manfaat kepada penduduk sekitarnya.
Katanya, kewujudan UIAM itu adalah hasil perjuangan penduduk-penduduk Gombak terdahulu yang menghalang pembinaan empangan di situ supaya kampung sekitarnya tidak dihapuskan.
“Ini sejarah penting untuk rakyat Gombak tahu bagaimana terbinanya UIAM. Ada beberapa orang yang memperjuangkannya masih lagi hidup dan ada yang telah kembali ke rahmatullah.
“Tapi dengan kewujudan UIAM, anak Gombak tak dapat yang sepatutnya hasil daripada perjuangan orang-orang terdahulu,” katanya dalam program Agenda AWANI khas Malaysia Memilih pada Selasa.
Tegasnya perkara itu menjadi keutamaan sekiranya dipilih menjadi perwakilan untuk memastikan mana-mana anak jati Gombak yang melepasi merit kelayakan mesti diberi laluan khas masuk menuntut di universiti tersebut.
“Ini bukan dasar yang perlu dirombak, saya pernah jadi Senator jadi saya tahu. Tapi satu kesefahaman yang perlu dibina antara Kementerian Pengajian Tinggi bersama ahli Parlimen,” katanya.