
Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin kanan gabungan itu mula bergerak ke seluruh negara bertemu pemimpin peringkat negeri sebagai persiapan menghadapi PRU-15.
Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran memperoleh 20 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan pengerusi BN itu berkata sasaran itu mesti dipenuhi oleh BN Johor supaya dapat menjadi penyumbang utama kerusi Parlimen untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang kuat.
“Kali ini keutamaan BN adalah untuk menang dan kami telah meletakkan sasaran tinggi untuk Johor.
“Ini adalah tugas besar dan saya mahu Johor memperoleh sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen sebagai penyumbang utama dalam usaha kita menubuhkan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyelaras BN Johor di pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, hari ini (18 Ogos 2022).
Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohamad.
Mohamad, yang juga timbalan presiden UMNO dan pengarah pilihan raya gabungan itu turut menjelaskan lawatannya ke Johor semalam adalah untuk melihat persiapan BN negeri menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Beliau berkata persiapan BN bagi menghadapi PRU-15 perlu dilakukan dengan teliti dan terperinci bagi memastikan gabungan itu kembali mendahului dengan selesa dan memperoleh kemenangan.
“Pada pilihan raya negeri Johor (Mac lalu), seluruh kepimpinan BN datang membantu, tetapi untuk PRU-15 akan datang, negeri ini perlu menguruskan sendiri kempen pilihan raya.
“Sebab itu tahap persiapan kita perlu terperinci. Bagi kita, Johor perlu lebih kuat kerana tidak akan ada sekutu dari seluruh negara yang datang membantu mereka,” katanya memetik laporan MalayMail.
Mohamad berkata Johor adalah negeri kesembilan yang mengadakan mesyuarat penyelarasan BN serta persediaan menghadapi PRU-15.
“Sebelum ini BN telah selesai mengadakan mesyuarat sama di lapan negeri iaitu bermula dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
“Hari ini dan esok kami di Johor, Ahad kami di Melaka. Untuk minggu-minggu berikutnya, kami di Perak (22 dan 23 Ogos) dan Pahang (29 dan 30 Ogos).
“Selepas itu BN akan ke Sabah di mana kita akan mengadakan mesyuarat yang sama di empat zon di sana kerana ia adalah negeri yang besar,” katanya.