
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pembubaran Parlimen tahun ini bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan mendapat sokongan Barisan Nasional (BN) Perak.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata langkah mengadakan PRU-15 tahun ini wajar memandangkan parti sudah bersiap sedia sepenuhnya dan senarai calon yang akan diletak bertanding sudah tersedia.
“Sepatutnya (PRU15) tahun ini dan kita memang mahu tahun ini.
“Sekarang ini pun kita sudah mula mendapatkan senarai-senarai cadangan calon daripada bahagian-bahagian.
“Pada waktu sama kita buat kajian dan ‘scanning’ (tapisan) daripada pihak berkaitan supaya calon yang dipilih nanti adalah calon yang boleh memenangkan BN,” katanya dipetik laporan.
Berhubung nama calon, Saarani menegaskan BN akan meletak lebih ramai calon muda dan tidak ada jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada akan dikekalkan sebagai calon pada PRU-15 nanti.
“Tiada jaminan sama ada seseorang yang sedang menjadi ADUN akan kekal kerana kemungkinan ada yang terpaksa digantikan.
“Kita perlu juga menonjolkan muka baharu khususnya orang-orang muda, ini mengambil contoh apabila berlaku di Melaka dan Johor,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, BN Perak akan terus berkempen dan menggerakkan semua jentera di setiap pelosok negeri itu.
“Kita akan teruskan (pelancaran jentera) setiap malam setiap hujung minggu sehinggalah bubar (Parlimen), ini untuk beritahu bahawa kita sudahpun bersiap sedia,” katanya.
Pada PRU-14, BN Perak memenangi 11 kerusi Parlimen daripada 24 kerusi dipertandingkan dan 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada 11 kerusi itu, 10 daripadanya disumbangkan UMNO manakala satu lagi kerusi Parlimen dimenangi oleh calon MIC. UMNO turut menang di semua 27 kerusi DUN.