PRU-15: Anwar tak tolak bincang kerjasama dengan Bersatu

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan mengadakan perbincangan lanjut dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan kerjasama politik, khususnya dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walaupun, terkesan dengan Langkah Sheraton yang menyaksikan kegagalan beliau menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan hanya setelah 22 bulan memerintah, Anwar berkata sebagai orang Islam beliau perlu berbaik dengan semua pihak.

Kenyataan beliau itu berbeza dengan pendirian dua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) – AMANAH dan DAP – yang sama sekali menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Anwar yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH memberi alasan sebagai seorang pemimpin dan seorang yang beragama Islam, beliau mesti bersedia untuk berbaik-baik dengan mereka yang ikhlas untuk berdamai.

Beliau memetik ayat 10, Surah Al Hujurat yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih).”

“Tapi kalau nak jadi pimpinan politik dan kata jangan bincang dengan sesiapa, tak betul. Saya kalau perdana menteri minta jumpa esok, saya ubah suai, saya jumpa. Walaupun dari segi politik itu permusuhan politik.

“Bukan bermakna nak berdamai, bermakna untuk menjalankan beberapa kerja dari segi soal negara, soal rakyat. Kalau saya jumpa PM itu untuk minta projek komisyen DNB, itu haram namanya.

“Kalau untuk kebajikan, saya fikir untuk jadi pemimpin yang diketengahkan di arus perdana, harus ada kesediaan untuk tidak dilihat sebagai pemimpin kelompok atau parti yang sempit.

“Tetapi (pemimpin) yang keras prinsipnya tegas, tapi ada kesediaan untuk berbincang ini dalam Sunnah Rasulullah SAW. Ini yang berlaku dan kita tak lari dari itu,” katanya memetik laporan dalam wawancara khas bersama MKini.

Awal bulan ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan beliau mengambil insiatif merintis kerjasama politik dengan beberapa pihak selepas didatangi pemimpin parti lain, termasuk Pejuang.

Menurutnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan mengenai pembentukan kerjasama bagi mengelak pertembungan banyak penjuru.

“Selepas Pilihan Raya Negeri Johor, saya didatangi oleh beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang.

“Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15.

“Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional (BN) yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi. Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR