
Perdana Menteri tidak boleh tetapkan tarikh pilihan raya atas ugutan pihak kecil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini diingatkan supaya tidak tunduk kepada tekanan, desakan dan ugutan daripada pihak tertentu, terutama UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak wajar bagi Perdana Menteri bertindak melulu mengadakan pilihan raya atas kepentingan pihak tertentu, termasuk untuk membebaskan individu daripada kes mahkamah.
“Perdana Menteri tidak boleh tetapkan tarikh pilihan raya atas ugutan pihak kecil, kepentingan mereka untuk dibebaskan (dalam) kes mahkamah dan sebagainya,” katanya menurut BH tanpa menyebut mana-mana pemimpin politik yang kini berdepan kes mahkamah.
Anwar menjangkakan PRU-15 kemungkinan paling awal diadakan pada penghujung Oktober atau awal November depan iaitu selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023 selesai dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.
Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menerima tekanan dan desakan kuat daripada partinya sendiri, termasuk daripada Majlis Tertinggi (MT) dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, supaya mengadakan segera pilihan raya.
Keengganan Perdana Menteri yang merupakan salah seorang daripada ‘Top Five’ UMNO untuk mempercepatkan PRU-15, menyebabkan beliau diserang bertubi-tubi, dan kemuncaknya apabila bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak, dihantar menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Pada Taklimat Khas Presiden UMNO 27 Ogos lalu, Ismail Sabri diboo perwakilan yang hadir setiap kali namanya disebut, selain ucapan berapi-api individu, termasuk oleh penasihat khas beliau sendiri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pekikan “bubar, bubar, bubar” bergema dalam dewan perhimpunan itu mendesak Ismail Sabri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan segera.
Terdahulu hari ini, Ismail Sabri berkata beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh PRU-15.
‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Zahid; Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan; serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan perdana menteri sendiri.
Katanya, selepas berbincang dengan ‘Top Five’, baharulah beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO termasuk Zahid dan ahli MT parti itu kini berdepan puluhan tuduhan jenayah rasuah, penyelewengan dan pengubahan wang haram, melibatkan berjuta-juta ringgit.
Zahid, 69, yang juga anak murid Anwar, berdepan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd ketika dia menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Presiden UMNO itu juga berdepan 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyalahgunakan wang Yayasan Akalbudi, termasuk 12 pertuduhan pecah amanah jenayah lebih RM31 juta.
Selain Zahid, Ahli MT Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin; dan pemimpin UMNO Johor Tan Sri Shahrir Samad, adalah antara pemimpin parti itu yang berdepan pertuduhan di mahkamah.
Kes paling besar hingga memalukan negara pada peringkat global melibatkan pemimpin UMNO ialah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan berbilion-bilion wang negara.
Terbaharu, muncul pula skandal enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia bernilai RM9 bilion yang juga dilaksanakan ketika UMNO dan BN memerintah negara.
Projek itu dilaporkan bermula sejak 2011 tetapi sehingga kini tiada satu pun kapal itu yang diserahkan sedangkan kerajaan telah membelanjakan sehingga RM6 bilion.