
Pertembungan antara Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Wujud pendirian berbeza-beza diperingkat akar umbi UMNO berhubung isu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), terdapat kumpulan yang menyokong dan juga ada yang tidak menyokong ia disegerakan.
Bagi yang menyokong PRU-15 disegerakan ia dikaitkan dengan kumpulan akar umbi UMNO yang cenderung senada dengan pendirian Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tapi bagi yang menolaknya pula lebih dilihat menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beberapa hari ini, PAS nampaknya mengeluarkan beberapa kritikan keras terhadap Zahid dengan mendakwa kes mahkamah menjadi punca utama timbul gesaan agar PRU-15 disegerakan.
Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor mendakwa Zahid berkeras mahu PRU-15 dipercepatkan, kerana takut dipenjarakan.
Tidak berpuas hati dengan kritikan tersebut, beberapa pemimpin akar umbi tampil mempertahankan Zahid, ia meskipun umum mengetahui puluhan pertuduhan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah ketika ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas Sanusi berhubung kritikan terhadap Zahid dengan menyifatkannya tuduhan tanpa fakta dan bukti.
“Ditegaskan tidak ada satu pun lagi prosiding mahkamah yang terhenti, terganggu atau tertunda kerana Barisan Nasional (BN) atau UMNO berkuasa selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang.
“Jadi adalah sangat spekulatif untuk membuat andaian bahawa mahkamah boleh sewenang-wenang diarah, diganggu dan disepak terajang untuk memastikan mana-mana pemimpin BN terlepas dari keadilan.
“Malah, pandangan sebegitu sangat menghina dan merendah-rendahkan kebebasan, ketelusan serta kebijaksanaan institusi kehakiman negara. Seolah-olah mahkamah kita ini terlalu kerdil, takut dan tidak berpendirian,” katanya kenyataan, hari ini.
Shaiful Hazizy tidak bersetuju dengan tanggapan mengatakan langkah PRU-15 mahu disegerakan kerana pemimpin UMNO yang berdepan kes mahkamah takut disabitkan hukuman penjara, ia sebenarnya secara tidak langsung memberi isyarat menyokong Zahid.
Bagaimanapun, terdapat satu lagi kumpulan yang berpendirian mahu UMNO mengutamakan persediaan parti untuk menghadapi PRU-15 berbanding desakan supaya Ismail Sabri membubarkan Parlimen.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, setiap ahli parti perlu rasional dan terbuka bagi memberi ruang dan kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi mengatur strategi supaya UMNO memenangi PRU15.
“Sejak berlangsung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, PAU Khas hinggalah Konvensyen Barisan Nasional (BN), soal bila PRU-15 akan diadakan sentiasa menjadi topik yang hangat. Keputusan membubarkan parlimen bukan terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri dan proses ini perlu difahami oleh seluruh kepimpinan parti dan akar umbi.
“Perdana Menteri akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi UMNO, biro politik, ahli majlis tertinggi dan kepimpinan BN pusat. Keputusan ini akan turut melibatkan persetujuan kabinet untuk memberikan mandat kepada Perdana Menteri bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.
Dua kenyataan ini adalah senario dan gambaran terkini yang sedang berlaku diperingkat akar umbi UMNO, terdapat dua pandangan yang berbeza-beza.
Bagi kumpulan yang menyokong Zahid, diharapkan dengan sokongan yang diberikan sudah pasti sekurang-kurangnya nama mereka dapat menjadi salah seorang calon semasa PRU-15.
Sementara bagi kumpulan yang menyokong Ismail Sabri, sekurang-kurangnya mereka akan mendapat manfaat atau ganjaran daripada sokongan yang diberikan kepada Naib Presiden UMNO tersebut.
Namun, sekiranya UMNO mengadakan PRU-15 lebih awal sudah pasti kemenangan yang mutlak dan dominan akan menjadi milik mereka memandangkan blok pembangkang yang sudah berpecah-belah.