PRN12 Sarawak: GPS tawar 34 perkara dalam manifesto

Gabungan Parti Sarawak (GPS) malam ini melancarkan manifesto gabungan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kali ini dengan menyenaraikan 34 tawaran terbaik kepada rakyat negeri itu.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan gabungan itu akan terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, manifesto GPS adalah sangat komprehensif yang akan memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.

“GPS telah menyediakan landasan yang kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2030.

“Pelbagai inisiatif telah dirancang dan sedang dilaksanakan untuk menjadikan Sarawak maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi serta pembangunan sosial yang inklusif dalam suasana alam sekitar yang mampan yang dipacu oleh data dan inovasi.

“Keupayaan GPS melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat jelas membuktikan bahawa kita mempunyai jentera pentadbiran yang mantap dan berhemah serta sistem tadbir urus kewangan yang baik, telus dan beramanah,” katanya pada Majlis Pelancaran Manifesto GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Abang Johari berkata kepimpinan GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian yang cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

Sehubungan itu katanya, GPS memerlukan sokongan padu rakyat Sarawak dengan mengundi gabungan itu bagi memastikan negeri ini kekal stabil, makmur dan gemilang menjelang Sarawak Maju 2030.

Berikut adalah tawaran dalam Manifesto GPS:

1- Menjamin kestabilan dan autonomi politik Sarawak;

2- Mempertahan dan membela hak-hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Undang-Undang Negeri Sarawak;

3- Menjamin hak kesaksamaan yang inklusif untuk semua rakyat Sarawak;

4- Mengiktiraf dan menjamin hak rakyat ke atas tanah Native Customary Right (NCR) dan Native Territorial Domain (NTD);

5- Menjadikan Sarawak maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030;

6- Merapatkan jurang pendapatan rakyat melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan;

7- Membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar;

8 – Menyediakan lebih banyak Rumah Mampu Milik, Skim Pembesaran Kampung (SPK), Skim Penempatan Semula (SPS), Bantuan Pembinaan dan Baik Pulih Rumah Panjang;

9 – Memacu pembangunan ekonomi Sarawak melalui agenda ekonomi digital;

10- Memperkasakan usaha melindungi dan memulihara alam semula jadi;

11- Meningkatkan pendapatan dan sumber hasil Sarawak;

12- Memperhebatkan jaringan jalan perhubungan, pengangkutan, pelabuhan dan lapangan terbang;

13-Memperluaskan liputan bekalan air, elektrik dan gas;

14- Memperluaskan liputan telekomunikasi dan kemudahan digital;

15- Mentransformasikan pembangunan ekonomi luar bandar;

16- Merancakkan pembangunan bandar sejahtera dan pintar;

17- Mentransformasikan dan memacu sektor pertanian, penternakan dan perikanan;

18- Membangun sektor perindustrian dan pelaburan;

19- Menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS);

20- Memperhebatkan sektor pelancongan dan perkhidmatan;

21- Memperkasakan perkhidmatan kerajaan yang berteraskan kepada integriti dan tadbir urus yang baik;

22- Meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan;

23- Meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan teknikal;

24 – Menjamin keselamatan negeri dan rakyat;

25- Meningkatkan kecekapan pengurusan bencana;

26- Mengukuhkan keharmonian dan kesejahteraan sosial;

27- Menjamin dan memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum;

28- Memperkukuhkan Mahkamah Adat Bumiputera;

29- Membantu dan mempercepatkan anak Sarawak yang layak untuk mendapatkan kerakyatan;

30- Menjaga dan memelihara kebajikan rakyat;

31- Memperkasakan penglibatan wanita dalam pembangunan Sarawak;

32- Mempertingkatkan penyertaan belia dalam pembangunan Sarawak;

33- Memperhebatkan bidang sukan; dan

34- Penubuhan dana kekayaan berdaulat.

BERITA BERKAIT
POPULAR