
UMNO kini mempunyai dua kerusi dalam DUN Pulau Pinang akan berbincang 15 kerusi majoriti Melayu dengan PKR dan AMANAH.
UMNO Pulau Pinang akan berbincang dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP berhubung pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN), selepas pemilihan yang sedang berlangsung sekarang selesai.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata setakat ini parti itu belum mengadakan perbincangan berkaitan dengan PH.
Gabungan PH terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), menguasai pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.
Musa turut mengesahkan bahawa UMNO akan bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRN nanti.
Daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, UMNO/BN sekarang ini menyandang dua kerusi iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua.
“Mengenai PRN, insya-Allah kita akan bertanding di atas kerusi BN, ini atas semangat kerjasama kerajaan perpaduan. Bagaimanapun, sehingga kini, perbincangan mengenai pembahagian kerusi belum dibuat.
“Arahan dari Pusat untuk kita bincang sudah diterima, mungkin lepas ini (Pemilihan UMNO) kita akan bincang,” katanya pada sidang media hari ini (18 Mac 2023) menurut Sinar.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh.
Musa bagaimanapun berkata, pihaknya akan berbincang 15 kerusi majoriti Melayu dengan PKR dan AMANAH.
“Yang lain, kita akan bincang dalam pusingan kedua,” katanya.
Kata Musa lagi, UMNO tidak akan bertanding di atas tiket PH kerana parti itu bukan bergabung dengan PH sebaliknya hanya bekerjasama menubuhkan kerajaan peringkat Pusat.
“Kita bertanding atas tiket BN dan tidak bertanding atas tiket PH kerana kita hanya bekerjasama untuk tubuh kerajaan peringkat Pusat bagi menstabilkan ekonomi dan tidak mahu ada kucar kacir dalam negara.
“Tetapi soal parti kita tak bergabung dengan PH, soal kerjasama tu adalah, kalau nak lawan tiga penjuru semua akan kalah. Kerjasama ini hanya untuk pilihan raya dan hanya satu tolak ansur kerana mahu tubuh kerajaan,” katanya.