
Calon PH DUN Pandan Indah, Izham Hashim.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Izham Hashim memuji bekas lawan mereka, UMNO yang dahulunya menjadi seteru utama.
Wakil Amanah di DUN Pandan Indah itu nampaknya yakin dengan sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan ditandinginya dan berharap sokongan pengundi UMNO untuk mempertahankan kerusi tersebut dengan memuji parti yang dianggap musuh sebelum ini.
“Sejak merdeka, UMNO membuktikan ia parti baik. Kita tidak boleh melabelkan mereka parti teruk hanya disebabkan beberapa pemimpin.
“Kita tidak boleh menafikan sejarah dan kecemerlangan UMNO. Ia mempunyai sejarah panjang menyumbang kepada negara.
“Sejak beberapa minggu lalu, kita bekerjasama rapat, apa yang boleh saya katakan ialah mereka amat berdisplin. Sebab itu saya katakan ia parti Melayu terbaik,” katanya dipetik laporan FMT.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, yang juga pengkritik lantang UMNO sebelum pembentukan kerajaan campuran, berkata UMNO terbaik dalam kalangan tiga parti politik Melayu di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Izham yakin pengundi Selangor akan menyokong gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini.
Ketika ini, katanya, penyokong PH lebih terbuka mengundi calon BN berbanding sebaliknya, walaupun masih ada masa untuk membetulkan keadaan.
“Saya yakin (akhirnya) penyokong UMNO akan menyokong PH. Ada seminggu lagi untuk berkempen, saya yakin kita dapat meningkatkan peralihan undi,” katanya.
Pengundi di Selangor dan lima negeri lain akan keluar mengundi Sabtu ini.