PRN Sarawak: Setiausaha PAS Selangor baca talkin untuk PH

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua rakan baiknya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, bakal ‘direhatkan’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, akan datang.

Malah, Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir turut membacakan ‘talkin’ kepada Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada PRN itu, setelah mengalami kekalahan teruk ketika PRN Melaka 20 November lalu.

Beliau berpendapat sekiranya rakyat Sarawak bangkit menyokong dan memberi kemenangan solid kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), landskap politik negara akan berubah, sekali gus merehatkan Anwar, Guan Eng dan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

“Jika dalam PRN ini rakyat Sarawak juga bangkit menolak PH, sekali lagi landskap politik Malaysia akan berubah dan kali ini isyarat yang diberikan adalah bahawa rakyat Malaysia mahukan ketenangan dan kestabilan.

“Kemenangan yang ‘solid’ di Sarawak bakal meranapkan PH dalam PRU ke 15 nanti dan dengan itu akan hilang terus penguasaannya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Malaysia bakal merehatkan Anwar, Guan Eng dan Mat Sabu. Dan ianya akan bermula dari PRN Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember, pengundian awal (14 Disember) dan pengundian biasa (18 Disember), dengan kempen selama 12 hari.

Terdapat seramai 1,252,014 pengundi biasa berdasarkan daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 2 November 2021, dan 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 orang anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

Mengulas lanjut, Roslan berkata dalam PRN Sarawak yang lalu, DAP hanya menang tujuh kerusi manakala PKR pula tiga, namun wakil rakyat PKR dari Batu Lintang, Ba’kelalan dan Krian telah menyertai parti lain.

“Sehingga saat ini tidak nampak ada lagi persefahaman antara parti-parti bawah gabungan PH untuk menghadapi PRN Sarawak ini. Seperti biasa DAP dan PKR berantakkan berebut kerusi, manakala PAN pula terpaksa berpuas hati dengan sisa-sisa kerusi yang tiada kepentingan buat DAP dan PKR.

“Dengan trend kekalahan di Semenanjung dan Sabah, PH Sarawak juga bakal menempah “maut” dalam PRN kali ini dengan GPS sebagai parti pemerintah dijangka menang besar,” katanya.

Menurutnya isu-isu panas dan ekstrem yang dimainkan blok PH hanya akan memecahbelahkan rakyat negeri itu dan mencetuskan kebencian terhadap Kerajaan Pusat – suatu kempen yang langsung tidak memberi manfaat buat sesiapa.

“Sesungguhnya inilah peluang terbaik buat rakyat menghukum dan memusnahkan PH. Apa yang kita perlukan adalah kerajaan dan pimpinan yang menepati janji, yang meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara di hadapan, yang bermoral dan penuh integriti,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR