PRN Sarawak: Pahit yang terpaksa ditelan BN

Sudahlah parti komponen tidak lagi mempercayainya, logo Barisan Nasional (BN) diketepikan apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) 18 Disember ini.

Namun itulah hakikat dan senyuman pahit yang terpaksa ditelan BN setelah hanya menang 79 daripada 222 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sehinggakan semua parti komponennya di Sarawak menarik diri.

Pada kali ini juga bendera BN tidak akan berkibar setelah perikatan itu buat pertama kali tidak bertanding di PRN Sarawak.

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan mereka akan menyokong GPS atas semangat setia kawan yang terjalin sejak lama dahulu.

Atau mungkin kerana menyedari BN bukan saingan bagi GPS yang terlalu kuat di Sarawak, walaupun mereka mencapai kemenangan besar ketika PRN Melaka 20 November lalu.

Mungkin juga BN berharap GPS akan kembali ke pangkuan mereka bagi menghadapi PRU15 nanti, setelah sebelum ini gabungan parti pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Openg dilihat lebih rapat dengan Perikatan Nasional (PN).

GPS juga mungkin bimbang bertanding menggunakan logo BN akan menyebabkan mereka kalah kerana sentimen rakyat negeri itu yang masih membenci BN sejak PRU14 lalu, masih belum reda.

Umum mengetahui 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dimenangi atas tiket BN pada PRU14 lalu, tetapi BN hilang sokongan setelah empat parti komponennya di negeri itu menarik diri dan menubuhkan GPS.

“Walaupun GPS tidak menyertai BN, hubungan baik masih seperti dulu,” kata Mohamad sambil memuji kekuatan jentera GPS untuk berdepan calon parti lain.

Mohamad juga yakin kewibawaan barisan pemimpin GPS, logo burung kenyalang parti itu akan diterima baik oleh penduduk Bumi Kenyalang.

“Saya rasa jentera GPS amat mantap dan mereka terutama Tan Sri Abang Jo telahpun mengurus dan mentadbir Sarawak dengan baik jadi saya tak nampak perlunya campur tangan daripada pihak luar.

“Tetapi jika ada keperluan untuk beberapa orang pemimpin untuk membantu, kami sedia membantu namun ketika ini kami rasakan kepimpinan GPS cukup bagus untuk meneraju pilihan raya ini dan mendapat kepercayaan rakyat Sarawak,” katanya.

PRN12 Sarawak akan diadakan pada 18 Disember dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari mengundi awal pula pada 14 Disember.

BERITA BERKAIT
POPULAR