
Kes polis.
Polis Selangor membuka lima kertas siasatan daripada 64 laporan diterima berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Lima kertas siasatan itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Seksyen 4 (A) (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Seksyen 435, Seksyen 427 kanun keseksaan, Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata sebanyak 48 laporan polis diklasifikasikan sebagai NOD (no offence disclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.
“Laporan itu dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi Ops Cantas PRN Selangor.
“Sebanyak empat laporan diklasifikasikan ROR (refer other report), empat laporan lagi diklasifikasikan NFA (no further action) dan tiga laporan diklasifikasikan (ROA (refer other agency),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan hanya satu kempen yang dijalankan tanpa permit di negeri ini dan setakat hari ini, 191 kempen dan 79 ceramah dijalankan dengan memiliki permit.
Beliau sempat mengingatkan semua calon supaya tidak menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja) semasa berkempen.
“Jika mana-mana calon parti tidak mematuhi peraturan ini, ianya boleh disiasat bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.