
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Perikatan Nasional (PN) yakin mampu mencipta kejutan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melihat kepada sokongan rakyat kepada PN ketika ini, beliau turut yakin gabungan itu dapat mengekalkan pemerintahan di tiga negeri dikuasainya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah dengan keputusan lebih baik.
“Memang siapa-siapa masuk bertanding apa-apa sekali pun, sasaran ialah kemenangan. Saya yakin dengan melihat kepada ‘mood’ di bawah terutama dalam kalangan rakyat pada waktu ini, suasana sangat positif kepada PAS dan Perikatan Nasional.
“Saya percaya untuk tiga negeri yang telah dimenangi sebelum ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah kita akan mempertahankan kemenangan dengan keputusan lebih baik, melihat kepada ‘mood’ yang terkinilah.
“Untuk tiga negeri lagi (yang dikuasai PH), saya percaya kita akan melakukan satu kejutan, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu itu berkata senarai calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri masih belum diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.
“Sebagaimana saya pernah sebut, saya sendiri pun tak pasti bertanding di mana, bertanding atau tidak (dalam PRN) sehingga diputuskan oleh pimpinan tertinggi.
“Senarai calon itu mesti disahkan oleh pimpinan tertinggi parti, jadi kita tunggu saatnya,” katanya yang juga Pengerusi PN Terengganu.