
Anak muda memilih mengundi Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, berbanding Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata gabungan itu sudah memuktamadkan calon menteri besar atau “poster boy” di Selangor dan Negeri Sembilan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun tidak mendedahkan calon berkenaan yang sepatutnya dilantik dalam kalangan pemimpin Bersatu seperti diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Mac lalu.
“PN dah ada calon menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan iaitu calon ‘poster boy’ kita. Kita akan ketengahkan calon menteri besar kita.
“Kita dah siap sedia berjuang dan pertahankan negeri (pimpinan) kita serta akan ambil negeri Pakatan Harapan (PH),” katanya menurut laporan Sinar.
Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ditadbir PH manakala Kedah, Kelantan serta Terengganu dikuasai PN menerusi PAS.
Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN itu iaitu 56 kerusi di Selangor; Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi; dan Terengganu (32).
Pada 17 Mac lalu, Ketua Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memutuskan tidak menamakan siapa individu dijadikan “poster boy” dalam menghadapi PRN Selangor.
Sebelum itu, timbul desas-desus bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin dan Rashid yang dilantik penyelaras PRN negeri itu sebagai calon menteri besar.