PRN Melaka: Zahid, Najib mungkin sudah di luar negara tak dapat bantu kempen

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan baiknya Datuk Seri Najib Razak, bakal terlepas untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila kedua-duanya akan berada di luar negara bagi tempoh 8 hingga 20 November ini atas urusan peribadi masing-masing.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan menjalani rawatan sakit belakangnya di Jerman, manakala Najib pula akan ke Singapura bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, untuk menemani anak mereka yang akan bersalin.

Itulah alasan yang diberitahu oleh kedua-duanya sehingga mahkamah membuat keputusan membenarkan permohonan pelepasan pasport mereka.

Atas alasan mendapatkan rawatan sakit belakang dan leher di Jerman, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa pada 11 Oktober lalu membenarkan permohonan Zahid, 68, mendapatkan sementara pasportnya mulai 26 Oktober dan memulangkannya pada 21 November.

Demikian juga, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said, hari ini membenarkan permohonan pelepasan pasport Najib bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Pemulangan sementara pasport kepada kedua-duanya menyebabkan kes mahkamah mereka yang melibatkan berbilion-bilion ringgit, terpaksa ditangguhkan dan hanya akan disambung semula selepas 22 November.

Sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula hari ini memutuskan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini dengan kempen selama 12 hari bermula selepas perisytiharan calon pada 8 November sehingga jam 11.59 malam 19 November.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini, berkata tarikh mengundi awal PRN Melaka adalah pada 16 November.

Hal ini bermakna, ketika tarikh penting PRN Melaka berlangsung, Zahid dan Najib mungkin sudah berada di luar negara atas urusan peribadi masing-masing.

Persoalan timbul sekiranya selepas pasport dikembalikan, Zahid dan Najib tidak keluar negara sebagaimana tujuan permohonan pasport, sebaliknya hadir berkempen pada PRN Melaka.

Adakah mereka akan dituduh menipu mahkamah kerana permohonan mendapatkan semula pasport pada awalnya bagi tujuan mendapatkan rawatan dan menziarahi anak?

Atau Zahid dan Najib boleh mengembalikan pasport masing-masing lebih awal bagi membolehkan mereka turut serta berkempen dalam PRN Melaka. Jika ini berlaku, kes mahkamah kedua-duanya tidak sepatutnya ditangguh sehingga selepas 22 November.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Presiden UMNO itu menghadapi 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Manakala di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula Presiden UMNO itu berdepat 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi, membabitkan jutaan ringgit.

Sementara, Najib pula berdepan beberapa pertuduhan di Mahkamah Tinggi, termasuk kes berkaitan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kes di Mahkamah Rayuan pula melibatkan permohonan Najib untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ia mengakibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan terpaksa diadakan satu PRN untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.

BERITA BERKAIT
POPULAR